Kami melalui satu perjalanan panjang merentas jalan berliku dan berbukit dari pinggiran Kuala Lumpur menuju ke Pantai Timur.
Kami bertiga, dari tiga tempat berbeza. Seorang dari Kajang, Seorang dari Rawang dan seorang lagi dari Shah Alam. Pertemuan diaturkan di Kampung Nakhoda. Tempat biasa bagi kami bertemu andai bertandang ke Batu Caves atau Selayang. Kampung Nakhoda adalah tempat yang kerana paling sesuai kerana terletak di tengah-tengah antara tiga tempat tadi. Juga di pintu masuk ke Pantai Timur melalui lebuhraya Karak.
Seperti dijanjikan kami berkumpul pada pukul 12 tengah malam. Setelah masing-masing selesai segala urusan. Juga supaya mudah perjalanan. Mengelak kesesakan maksud tindakan.
Perjalanan diteruskan kurang 15 minit pukul satu pagi. Singgah mengisi petrol secukupnya untuk perjalanan jauh ini.
Kereta dipandu terus menuju ke lebuhraya Karak. Aku memilih tempat duduk belakang. Membiarkan sahabat berdua bergebang mengisi perjalanan. Sambil-sambil diamati juga butir-butir bicara sahabat di hadapan yang kadang-kala sedikit menarik perhatian.
Keletihan siangnya memaksa aku membaringkan badan mengurangkan kepenatan. Membiarkan dua sahabat terus menongkah jalan-jalan yang kian berliku setelah keluar dari lebuhraya Karak tadi. Perjalanan melalui jalan Bentong, Kuala Lipis, merentas gunung tujuh beradik dan sampai ke Gua Musang.
Aku hanya sedar ketika tiba di stesen Petronas Gua Musang. Kami berhenti seketika merehatkan badan. Juga memberi kerehatan untuk kereta. Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Cepat juga tiba ke Gua Musang.
Setelah berehat beberapa ketika perjalanan diteruskan lagi. Menuju arah jalan hala ke Jeli kata mereka. Aku hanya mengikut sahaja kerana kurang biasa dengan jalan-jalan di sini. Tempat yang dituju berdekatan dengan Air Terjun Gunung Stong dan Bukit Tok Ali. Sebuah rumah balu arwah adik sahabatku.
Sampai di sana tepat pukul enam pagi. Ketika penghuninya pun belum mencelikkan mata. Setelah memberi salam, pintu pun dibuka. Kami mengambil kesempatan untuk bersolat subuh dan merehatkan badan sebelum perjalanan diteruskan semula.
Tersedar daripada lena, jam hampir pukul lapan pagi. Dikejutkan oleh panggilan daripada orang yang menjemput. Diminta segera terus ke rumahnya pagi itu juga.
Setelah mandi, bersiap-siap dan bersarapan. Kami meminta izin meneruskan perjalanan. Sebagai menghargai kunjungan dan sbagai tanda silaturahim sedikit buah tangan diberikan kepada kami.
Perjalanan seterusnya melalui Bukit Tok Ali dan air terjun tertinggi di Asia Tenggara, Air Terjun Gunung Stong. Namun sedikit mengecawakan bagi aku kerana kabus begitu tebal sehingga keindahan air terjun tidak kelihatan lagi. Kami menuju ke Kuala Krai melalui Dabong. Seterusnya terus melalui jalan Machang.
Sampai ke tempat tujuan. Kerja-kerja melapah lembu telah pun selesai. Hanya tinggal memotong daging sahaja. Kami bersalam dengan kenalan yang ada kemudian terus masuk bersembang dengan tuan rumah. Kalau diikutkan memanglah ingin membantu memotong daging untuk kenduri. Namun melihatkan semuanya telah ada yang membuat, kami memilih untuk terus bersembang sahaja. Apatah lagi sudah begitu lama tidak berjumpa.
Kami dijamu sedikit makanan dan minuman sambil bersembang. Aku masih lagi terkial-kial memahami butir bicara mereka. Ternganga juga apabila keluar perkataan yang jarang didengar. Banyak juga cerita-cerita setelah lama tak bersua.
Seketika kemudian, tibalah sahabat-sahabat lain dari utara. Bertemu dan bersalaman mesra kami semua. Semua kembali bersembang berbagai perkara dan cerita.
Teringat kiriman dari rumah yang disinggah tadi. Ada dikirimkan pisang sebagai buah tangan.
Diletakkan di dalam pinggan di hadapan tuan rumah. Tuan rumah ini matanya hampir tidak dapat melihat lagi. Bahkan tidak dikenal pun tetamu yang hadir. Terpaksa kami mengenalkan diri. Dipegang-pegangnya sesikat dan dikira ada 13 biji semuanya. Dalam diam, aku juga mengira-gira jumlah sikat-sikat pisang itu. Ada tujuh sikat pula semuanya. Adakah satu kebetulan? Cerita ini seolah disusun sebegitu cantik sedangkan kami tidak merancang sebegitu. Apakah ada petanda juga? Apakah membawa maksud tertentu seperti tiang-tiang pagarnya yang amat besar dan tujuh bilangannya itu? Biarkan saja masa menentukannya.
Tok Bali
Seketika kemudian, lori yang membawa daging ke tempat kenduri pun tiba. Kami bergegas mengejar lori tersebut. Menuju ke satu kawasan perlancongan di Tok Bali. Suatu kawasan yang tak pernah aku lawati.
Sampai ke Tok Bali, tetamu sudah pun ramai. Makanan telah pun tersedia.
Kami yang datang dari jauh, sudah tentu tidak menolak rezeki terhidang. Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.
Selesai menikmati hidangan kami mengambil peluang berjalan-jalan menikmati keindahan pantai Tok Bali. Tok Bali adalah antara pantai pelancongan paling cantik di Malaysia. Pantainya memutih dengan air laut yang begitu jernih dan bersih begitu mempesonakan. Langit yang membiru dengan sedikit tompokan awan menambahkan kecantikan dan keindahan alam ciptaan Tuhan ini.
Kami tertanya-tanya siapakah Tok Bali yang menjadi nama bagi tempat ini. Adakah orang tua dengan rambut serba putih itu? Orang tua yang sedang berbicara sesuatu di bawah teduhan pokok itu. Sambil memegang tongkat buat menguatkan diri ketika berjalan nanti. Atau adakah tongkat itu digunakan buat mengetuk kepala pendengar-pendengar yang bersamanya kiranya tidak memahami bicaranya nanti? Hahaha...
updated 29 Mac 09 2:45pm
Kebosanan
Tunggu dan menunggu... Kami dah kebosanan kerana tuan rumah sibuk menguruskan majlis dan melayan tetamu.
Akhirnya kami bercadang berjalan-jalan dan menziarah tempat-tempat berdekatan.
Maka diutuskan(hahaha) salah seorang daripada kami meminta izin daripada tuan rumah untuk berjalan-jalan sekejap.
Hasrat kami direstui, kerana tuan rumah sememangnya sibuk. Hanya dipesankan bahawa majlis sebenar iaitu tahlil dan marhaban akan dijalankan selepas maghrib. Kami diminta hadir juga.
Kami ada masa sekitar lima jam sahaja untuk ’melilau’.
Bersama sahabat-sahabat lain dari utara kami bergerak menghala ke Terengganu. Kami memilih menumpang MPV Grand Livina yang dapat memuatkan tujuh penumpang. Kebetulan hanya empat orang sahaja yang datang dengan Grand Livina itu. Dapat juga kami menjimatkan kos minyak.
Kereta kedua, Wira oren. Penuh lima orang semuanya.
Kami mengikut sahaja ke mana sahaja yang pemandu pelancong bawa. Kerana sememangnya kami tidak pernah ke sana dan tidak kenal sesiapa di sana.
Inilah kali pertama menaiki Grand Livina. Agak selesa dan stabil Grand Livina ini. Walaupun penumpang penuh namun kuasanya cukup dan lancar sekali bergerak. Sesuai sekali bagi mereka yang berkeluarga besar. Agak kelakar, menumpang tapi tak kenal pun siapa pemilik MPV ini. Disangkakan pemandu itulah pemiliknya. Rupa-rupanya sahabat yang di belakang. Sebenarnya saya sendiri kurang mengenali, hanya sahabat atas sahabat. Inilah kali pertama berjumpa. Namun kami tetap mengganggap sahabat.
Grand Livina dipandu menghala ke Pasir Putih. Melalui pekan Pasir Putih seterusnya menghala ke Besut. Kiri kata penunjuk arak ke kiri lah dibelok, kanan katanya ke kanan lah.
Saya mengambil kesempatan merakam seberapa banyak gambar yang boleh sepanjang perjalanan. Terutamanya ’land mark’ yang menarik seperti masjid, sekolah, dan banggunan besar serta papan tanda.
Besut
Sampai Besut kami terus masuk ke satu perkampungan yang saya sendiri tidak pasti di mana kedudukannya. Hanya pokok-pokok kelapa menghiasi perkampungan ini. Mungkin berhampiran pantai.
Ada seorang sahabat di sini kata pemandu pelancong kami.
Orang yang diziarahi ada di rumah. Alhamdulillah.
Kelam kabut orang tersebut melihat kami datang. Ramai betul. Tiga belas orang semuanya. Bukannya kerana apa. Kelam kabut difikir nak bagi apa sebagai buah tangan. Bertuah sungguh kami kerana walau baru pertama kali bertemu begitu baik layanan dan begitu mesra sekali bagaikan sudah kenal bertahun lamanya.
Akhirnya kami semua diberi seketul batu yang amat keras dan berharga katanya. Disuruh potong sendiri kecil-kecil supaya cukup seorang satu. Bakinya dipulangkan apabila datang lagi nanti. Agak menyusahkan. Namun mungkin inilah takdir Tuhan agar silaturrahim yang terjalin terus berkesinambungan.
Kebetulan juga orang ini mahir persilatan dan perubatan. Bahkan berbagai perkara. Tanya sahaja pasti dijawapnya dengan jawapan yang amat memuaskan hati. Walaupun masih amat muda, belum pun mencapai usia 40 tahun, namun pengalamannya amat banyak.
Berbagai cerita dan perkara kami bualkan hinggakan terasa masa begitu singkat.
Kalau diikutkan masih banyak perkara yang ingin disembangkan. Namun tekanan masa dan masih banyak tempat yang ingin kami singgah menyebabkan kami terpaksa minta diri setelah sejam di sana.
Jerteh
Kami teruskan lagi perjalanan. Menghala entah ke mana. Kami menurut sahaja.
Singgah sebentar di jalan arah ke Jerteh. Ada seseorang di sini katanya. Kami membiarkan pemandu pelancong kami melihat ada atau tidak orang tersebut.
Tiada rezeki. Orang tersebut bekerja kata isterinya.
Diteruskan lagi perjalanan. Terus menghala ke Jerteh.
Sampai di sana. Berdekatan sawah yang terbentang. Namun tuan rumahnya tiada. Kami hanya melihat binatang-binatang peliharaannya yang pelbagai. Monyet, ayam, itik, burung dan lain-lain. Begitu banyak memenuhi sekeliling rumah itu.
Kami terus sahaja menaiki kenderaan untuk bergerak ke rumah seterusnya. Baru sahaja kami keluar ke mini tar, ada sebuah kereta honda city masuk. Terpaksa kami mengundur masuk kembali kerana ianya hanya muat untuk sebuah kereta sahaja.
Rupanya itulah tuan rumahnya.
Kami pun membatalkan hasrat untuk ke tempat lain.
Kami bersalaman mesra.
Kami dijemput masuk ke rumah melalui pintu yang dibukakan anaknya dari dalam. Namun dia sendiri masuk ikut tingkap. Kelakar sungguh. Hahaha.
Lama juga di sini. Sebenarnya masih ada satu lagi tempat tujuan kami. Namun tersangkut di sini sampai ke malam. Orang ini agak nakal dan kelakar. Tak kering gusi kami dibuatnya. Umur dah 50an. Asyik diceritanya ada anak dara umur 19 tahun nak kat die. Bahkan ditelefonnya anak dara itu untuk membuktikan. Dipasangnya loud speaker untuk kami. Gelak besar kami dibuatnya. Pastu ada pulak anak dara telefon die. Yang lain pulak tu. Siap sayang-sayang, i love u la...
Apa la nak jadi. Sebab seronoklah lama kami sangkut di sini. Kami mengambil kesempatan mengambil ubat untuk keluarga. Ada juga antara kami yang sakit-sakit badan diurutnya.
Kagum sekali dengan kemahiran urutan Tok Ki. Hanya dipegang sahaja urat-uratnya. Tak perlu ditekan kuat pun.
bersambung lagi... ada orang kacau sampai kehilangan idea nak merapu...hahaha
1 comment:
citer ape sebenonye ni?? tak baca habih.. scanning jr dulu...
Post a Comment