Thursday, February 26, 2009

Nikmat cinta

EKSPRESI cinta membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup semakin patah.

EKSPRESI cinta membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup semakin patah.

Bahkan cinta juga memberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang selama ini bagaikan sudah kabur dan tiada arah tujuan.

Namun, apabila lima perkataan itu - cinta - semakin pudar dek banyak halangan dan onak, anda terpaksa melupakannya. Rasa pedih dan patah hati apabila diri dikecewakan adalah ketentuan yang perlu ditempuhi.

Biarpun terpaksa melupakannya untuk seketika atau selamanya, harus diingat itu semua bukan kehendak anda.


Mula-mula memang agak sukar untuk menerima kenyataan menempuh kekecewaan tetapi lama kelamaan, ia pasti boleh dihadapi.

Tidak dinafikan hidup ini sunyi tanpa cinta tetapi kena ingat, semuanya datang daripada-Nya.

Takdir mengatasi segalanya dan kekuatan diri harus dibina untuk mampu berdiri dan terus melangkah bagi membina cinta, seterusnya yang lebih teguh sehingga bahagia selamanya.



* Latih minda melupakan kenangan pahit

Bunyinya senang namun bagi yang menanggungnya, ia perlu dilakukan secara berterusan. Mengaku saja anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang sering melukakan.

Untuk itu, anda harus mengatakan pada diri 'berhenti' mengingati kenangan melukakan itu terutama ia memberi kesan emosi yang mendalam dalam kehidupan kini.

Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu sehingga membiarkan minda menjadi kosong. Tekadkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan.

Anda tidak akan dapat melupakan semua memori pahit sekali gus tetapi lakukan perlahan-lahan dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa tetapi tidak mustahil dengan disiplin diri yang kuat, segalanya akan berubah.

# Buang sikap risau

Ada dua kesan daripada sikap risau. Pertama, ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta.

Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan sama ada dari segi fizikal atau mental. Risau membuatkan diri selalu sedih dan kecewa, kadang-kadang takut. Untuk membuang sikap itu, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal keadaan.

# Belajar bersyukur

Ucap syukur atas semua yang ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda masih ada lima deria yang lengkap, boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur. Syukur kerana ada kawan rapat yang memahami dan mempunyai telefon bimbit kesayangan.

Ucap syukur sebanyak mungkin dan seikhlas hati hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.

# Belajar jadi pemaaf

Sikap pemaaf dapat membersihkan hati daripada perasaan dan emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam atau busuk hati). Seterusnya, neutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda anda.

Anda sebenarnya selalu sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri anda pada masa lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda suatu ketika dulu.

Mungkin juga anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain yang membuatkan sering dibuai kesedihan, kekecewaan dan lara berpanjangan. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapuskan semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.

# Ketawa, ketawa dan terus ketawa

Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan dan menjadikan anda girang. Tonton video lucu, baca cerita lucu, dekatkan diri dengan rakan yang lucu serta cari sudut melucukan dalam setiap situasi agar anda boleh ketawa secara automatik.

Ketawa dapat menghilangkan sedih. Mengapa melayan kecewa sedangkan anda boleh ketawa?

# Ubah fikiran

Kita tidak boleh mengubah situasi yang boleh membuat diri kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh mengubah fikiran dan apa yang anda fikirkan mengenai situasi itu walau seburuk manapun ia.

Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun ia tidak berpihak kepada anda, cari cara untuk menemui nilai positif di dalamnya.

Fikir yang baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda mahukan.

Mengapa fikir perkara buruk sedangkan anda boleh menarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam yang dinamakan hukum 'sebab dan akibat'.

# Hati mesti 'keras'

Bukan keras sebarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka.

Allah menurunkan musibah dan permasalahan bukan sekadar dugaan tetapi balasan pada perbuatan anda pada masa lalu.

Sebelum tidur, tetapkan minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri, ini adalah hari yang baru untuk anda.

Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik serta sebaik yang mungkin daripada hari sebelumnya.

Sumber: Harian Metro

Thursday, February 19, 2009

ILMU BELA DIRI DARI PERSPEKTIF ISLAM

Oleh Y.M. Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.



Dalam kertas ini ilmu bela diri adalah dimaksudkan dengan ilmu untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman, pencerobohan-pencerobohan dan keganasan-keganasan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab khususnya musuh Allah. Mempertahankan diri pula, dalam ertikata yang luas ialah mempertahankan diri sendiri dan apa jua yang berkaitan dengan diri atau agama, harta dan negara.

Dalam soal mempertahankan diri dari ancaman dan serangan musuh, ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa ilmu bela diri tidak lagi diperlukan kerana kita sudah ada senjata-senjata moden yang boleh membunuh musuh dari jarak jauh. Memang kita tidak menafikan kenyataan bahawa senjata moden itu dapat membedil musuh dari jarak jauh, namun kita berasa hairan kenapakah pada setiap muncung senapang ada diletakkan benet? Tujuan apakah benet itu diletakkan? Bukankah tujuannya untuk menikam musuh dari jarak dekat? Ini membuktikan bahawa ilmu bela diri masih diperlukan walaupun di zaman serba kemajuan yang mempunyai cukup senjata-senjata modennya.

Seperkara lagi, walaupun manusia telah dapat mereka berbagai-bagai alat dan senjata untuk menjamin keamanan manusia dari ancaman musuh, namun ternyata bahawa manusia masih lagi terdedah kepada berbagai-bagai jenis pencerobohan dan ancaman. Oleh itu persedian untuk menjaga diri, agama, harta dan tanahair sentiasa merupakan keperluan asasi lagi dituntut oleh agama.

Nyawa adalah hak Allah. Menjaga dan mempertahankan nyawa menjadi suatu kewajipan utama yang tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Dengan itu mempelajari ilmu bela diri sebagai alat mempertahankan diri merupakan suatu perkara wajib. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud "Dan sediakanlah apa jua jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, kamu menggentarkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu dan musuh-musuh lain juga yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya".

Tuntutan agama supaya seseorang itu mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri sudah tentu mempunyai banyak hikmat-hikmatnya yang tersembunyi. Salah satu hikmatnya yang paling nyata sekali ialah seseorang yang mempelajari ilmu bela diri, dia akan dipanadng mulia dan disanjung oleh sahabat dan masyarakatnya, namun sebaliknya pula pihak musuh merasai gentar dan gerun terhadapnya. Demikianlah kelebihannya orang yang memiliki ilmu bela diri.

Dalam surah al-Zumar, Allah berfirman dengan maksudnya : "…..katakanlah wahai Muhammad : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran." Dalam ayat yang lain Allah berfirman lagi dengan maksudnya : "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"

Jelaslah di sini bahawa, kedudukan ilmu bela diri adalah penting dan tinggi statusnya di sisi Islam. Setiap orang hendaklah sedar tentang pentingnya ilmu ini dan mengambil langkah-langkah untuk mempelajarinya.

Bagi bangsa Melayu, ilmu bela diri yang harus dipelajarinya ialah ilmu sifat, kerana di samping ianya dapat digunakan untuk membela diri ia juga merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada masa sekarang berbagai-bagai jenis ilmu silat Melayu boleh ditemui dan dipelajari. Di antaranya ialah Seni Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Petani, Silat Lincah dan Silat Sendeng. Namun persoalannya sekarang, adakah semua jenis ilmu-ilmu silat Melayu itu benar dan sejajar dengan ajaran dan akidah Islam?

Bagi menjawab persoalan tersebut, seseorang itu hendaklah mengkaji dan menyelidiki dengan teliti jenis-jenis ilmu silat Melayu yang ada, untuk mempastikan kebenarannya sebelum mempelajarinya. Ringkasnya, saya dapat jelaskan bahawa ilmu silat yang sebenar itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti berikut :

Bahawa ilmu silat tidak mengamalkan adat-adat istiadat yang berunsur tahyul dan khurafat; Bahawa ilmu silat itu melatih serta mendidik ahli-ahlinya dengan keberanian bukan mengganas atau menceroboh; dan Bahawa ilmu silat itu mengamalkan ilmu kebatinan yang sebenarnya.
Seni Silat Cekak adalah sejenis silat Melayu yang asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri. Adat-adat istiadat yang digunakan dalam silat ini adalah bersih dan jauh dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sesungguhnya Silat Cekak sememangnya mendokong cita-cita untuk membanteras amalan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam silat-silat Melayu. Antara amalan-amalan karut yang pernah diamalkan oleh setengah-setengah silat ialah membedah dada ayam yang masih hidup untuk melihat hati dan jantungnya bagi tujuan ilmu bela diri; menyapu darah ayam pada kaki untuk untuk mendapat mimpi atau ilham tertentu; menyiram darah ayam di sekitar gelanggang silat untuk meminta sesuatu hajat dan lain-lain lagi. Kita ingin bertanya, untuk siapakah darah ayam itu disiram? Bukankah untuk jin?

Dari segi pelajaran, Seni Silat Cekak mempunyai kaedah pelajaran yang tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya pula sesuai benar dengan gerak-geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama. Pelajaran Seni Silat Cekak tidak sepeti kebanyakan silat-silat lain. Ia lebih menitik beratkan kepada mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh.

Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajur supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Firman Tuhan dengan maksudnya : "Sesiapa yang memusuhi kamu, maka hendaklah kamu memusuhinya sebagaimana dia memusuhi kamu." Pelajaran silat yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bogkak di kalangan ahli-ahli silat akan tetapi mendorong mereka berlaku kasar dan ganas.

Di samping Silat Cekak melatih sifat keberanian yang merupakan sifat lelaki (rijal) ia juga mendidik ahlinya berperangai baik, hidup bersaudara dan menganjur mereka patuh kepada guru dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa. Islam menyuruh patuh kepada guru dan kedua ibu bapa dan melarang keras perbuatan menderhaka kepada mereka. Pendidikan supaya patuh kepada guru dan kedua ibu bapa serta kelebihan-kelebihannya ada dirakamkan di dalam pantun Silat Cekak berikut sebagai rujukan ahli-ahli :

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Taat kepada guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasa kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhir kelak merosak kita.


Seni Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak; makan gerak di dalam gerak. Adalah mustahil sama sekali dalam suatu ketika itu berlaku dua gerak.

Pada pandangan Seni Silat Cekak, ilmu kebatinan yang sebenar itu ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah itu ialah untuk membersihkan hati dari penyakitnya seperti megah, riya' dan dengki dan supaya hati sentiasa ikhlas terhadap Allah. Setelah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.

Golongan yang menjalani ilmu kebatinan seumpama ini adalah mereka yang berpegang teguh dengan ilmu hakikat dan menganut sepenuhnya ilmu syariat yang kedua-keduanya dari syariat nabi besar Muhammad S.A.W. Ilmu ini jika diperolehi, bermacam-macam kelebihan yang Allah kurniakan. Jika seorang pendekar, maka sangat pantas kaki tangannya. Tatkala berdepan dengan musuh mendapat maunah Allah, dan ketika berhujah dapat mematahkan hujah lawan dengan mudahnya.

Sekiranya kita tidak meneliti dan mendalami ilmu kebatinan yang sebenarnya ini, kita boleh tertipu dengan perkara-perkara luar biasa yang datangnya dari ilmu-ilmu kebatinan yang tidak sebenar, misalnya seseorang dapat membuktikan ilmu kebalnya dengan berjalan di atas bara api atau tidak mati walau ditanam di dalam tanah, maka kita boleh menyangka bahawa itulah ilmu batin yang sebenarnya.

Perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat bolehlah kita kategorikan kepada lima iaitu pertamanya mukjizat, ia diberi kepada rasul-rasul Allah; keduanya Irhas, ia diberi kepada nabi-nabi; ketiganya keramat, ia dikurnia kepada wali-wali Allah; keempatnya hikam/ma'unah, ia dikurniakan kepada orang-orang mukmin. Sementara kelimanya istidraj atau sihir, ia terjadi kepada orang-orang munafik, fasik dan kuffar.

Kesimpulannya bahawa Islam sememangnya memandang mulia terhadap ilmu-ilmu bela diri kerana ia adalah suatu cabang ilmu pengetahuan yang digesa untuk dipelajari. Walau bagaimanapun bidang-bidang ilmu bela diri bermacam-macam, ada yang sesuai dengan ajaran Islam dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ilmu bela diri yang sesuai dengan Islam ialah ilmu bela diri yang dapat mendidik peribadi ahlinya menjadi baik, berani dan mengarahkan mereka kepada bertakwa kepada Allah. Seni Silat Cekak merupakan sejenis ilmu bela diri bangsa Melayu yang asli yang boleh bertanggungjawab untuk mempertahankan diri serta selari pula dengan ajaran Islam yang sejati.

Saturday, February 14, 2009

Kita adalah insan



Insan - YANTZEN
Kita adalah insan
Menumpang atas dunia
Aku dengan caraku
Yang sederhana

Kita adalah hamba
Berbakti pada Yang Esa
Aku mencari sinar
Keredhaannya

Kita sama sahaja
Bezanya cuma amalan kita
Engkau dan juga aku
Saling perlukan

Oh cinta yang murni
Sebagai ikatan
Yang kukuh di hati
Demi masa depan
Jangan dihancurkan
Hidup yang indah ini
Akibatnya merana

Jangan hancurkan
Hidup yang indah
Kita adalah hamba Yang Esa

Thursday, February 12, 2009

Ungku Aziz garis 4 strategi kejayaan

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my



KUALA LUMPUR: Profesor Diraja Ungku Aziz menggariskan empat aspek utama untuk mencapai kejayaan dengan mengambil kira idea serta pandangan pakar dan cendekiawan antarabangsa.

Katanya, aspek berkenaan ialah diet dan pemakanan yang sihat, alat atau cara untuk membangunkan pemikiran, pelbagai strategi mencapai kejayaan, serta kepemimpinan.

Beliau berkata, empat aspek penting itu terkandung dalam sembilan karya tersohor antarabangsa, termasuk yang dihasilkan pada 1532 dan sudah dibacanya berulang kali.


"Dari segi diet, pergi ke mana-mana, saya sering ditanya apa saya makan sehingga kini sudah berumur 87 tahun. Keseimbangan amat penting antara protein dan karbohidrat, daging dan bukan daging, serta makanan mentah dan yang dimasak.


"Saya ambil makanan berdaging dua kali seminggu tetapi saya makan dua kali salad yang lengkap setiap hari. Saya juga minum banyak air, jus oren yang diperah segar dan teh. Jangan minum kopi kerana ada profesor di Fakulti Perubatan pernah memberitahu saya ia tidak baik untuk diri kita.

"Selain itu, gula adalah `racun' yang sangat tidak baik untuk semua bahagian tubuh kita. Elakkan gula ia umpama racun'," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk `The Quest For Success' di Pusat Konvenyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Syarahan itu dianjurkan Petronas dan Universiti Teknologi Petronas sempena pemilihan Ungku Aziz sebagai penerima Anugerah Merdeka 2008 (Kategori Pendidikan dan Komuniti), November lalu.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang juga Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, serta ahli lembaga itu yang juga Naib Presiden Bahagian Pendidikan Petronas, Datuk Dr Rosti Saruwono.

Ungku Aziz berkata, sembilan buku berkualiti itu yang disarankan dibaca ialah bertajuk `Fit For Life Not Fat For Life' hasil karya Harvey Diamond (2003), `Thinking Course' (Edward de Bono - 1982), `The Mind Map Book' (Tony Buzan - 1993), `Head First' (Tony Buzan - 2000), `The 36 Strategies of the Chinese: Adapting An Ancient Chinese Wisdom to the Business World' (Wee Chow Hou & Lan Luh Luh - 1988), `The Art of War' (Sun Xi - 1988), `The Prince on the Art of Power' (Niccolo Machiavelli - 1532), `Leader's Window' (J.D.W. Beck & N.M. Yeager - 1994) dan `Level 5 Leadership' (Jim Collins - HBR - 2001).

Sementara itu pada sidang akhbar, beliau berkata, bahasa bukanlah isu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah, sekali gus bahasa Inggeris tidak semestinya menjadi bahasa pengantar dua mata pelajaran itu.

"Dalam soal ini, apa yang penting ialah pelajar mesti diberi penguasaan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mantap," katanya.


Post ini sedikit sebanyak berkaitan dengan posting sebelum ini yang bertajuk Menyucikan diri. InsyaAllah ada masa dan keizinan saya akan update bagaimana penyediaan makanan daripada sudut Islam dan kesufian serta petua berkaitan.

Wednesday, February 11, 2009

Kemelut Malaysia

Hari ini berlaku pelbagai kemelut dalam negara. Dari segi politik, institusi beraja, ekonomi dan sebagainya.

1. Krisis Air
Ini menjadi penyebab saya meluangkan masa menulis malam2 ni. Air tiba2 tak ada. Jadi saya sedang menunggu air paip ada untuk ambik air smyg seterusnya solat Isyak. Kemudian baru boleh tido. Entah kenape air tetibe tak ade tanpa notis. Adakah Selangor juga berdepan kemelut seperti Perak?

2. Kemelut Politik Perak
Baru lepas baca komen si Merah Silu dalam blognya maka tergerak juga mengulas berkenaan Perak ini. Sebelum tu biar saya komen satu emel drp yahoo group ni;

Hmmm.. xde rezeki nampaknye nak ulas. Tak dapat load ke emel tu. So ulas berdasar Blog merah silu dan Mr Aiz ajelah..

Kalaulah ramai anak muda lain menaruh harapan pada Pakatan Rakyat, saya agaknya terkeluar drp golongan ini mungkin. Menjadi satu trend bagi org muda skrg memihak kepada PR. Saya sejak parti2 dalam PR bergabung telah menjauhkan diri dari terlibat dalam menyokong mana2 pihak. Maka dalam kes politik semasa saya berkecuali.

Pakatan Rakyat.
Bagi saya ini hanyalah perkahwinan kontrak. Tujuannya sekadar merebut kuasa. PAS, DAP dan PKR bergabung untuk mengalahkan BN. Jadi selepas mengalahkan BN apa yang akan berlaku? Adakah PR akan kekal bersatu? Jika dilihat daripada krisis di Perak pun kita dah boleh agak apa penamatnya. Sepanjang pemerintahan PR di lima buah negeri dikuasai terutama Perak dan Selangor kita dapat melihat percakaran sesama rakan sahaja.

Di Perak, MB hanyalah boneka bagi DAP dan PKR. Yang rugi dalam kes ini adalah orang Melayu. MB terpaksa mengikut telunjuk DAP dan memberi pelbagai keistimewaan kepada bukan Melayu. Sepatutnya sebagai ahli PAS, MB perlu sedikit keras dan menggunakan kuasa sebagai MB walaupun tertekan dgn DAP. Gunakan kuasa dan ugutan keluar pakatan jika perlu asalkan maruah dan kepentingan Melayu dan Islam terpelihara. DAP terpaksa juga menurut kerana andai PAS keluar pakatan maka PR Perak akan terbubar. Masalahnya adalah takut hilang kuasa dan tidak berani berkorban demi agama dan bangsa.

PAS
Antara perjuangan PAS sejak dahulu adalah Undang2 Islam. Namun demi menjaga hati rakan dalam PR, mereka sanggup korbankan prinsip perjuangan. Jadi apa lagi yang ada pada PAS jika perjuangannya sudah dikorbankan demi kuasa? Beberapa bulan lalu Husam Musa menarik balik ucapannya untuk menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan jika memerintah Malaysia semata2 kerana tentangan beberapa pemimpin DAP. Maka dimanakah perjuangan PAS skrg? Seorang pejuang sepatutnya berkorban demi perjuangan. Bukannya mengorbankan perjuangan demi kuasa.

DAP
Mereka ini adalah parti sekular sepenuhnya. Pecahan daripada PAP di Singapore. Jadi apalah yang dapat diharapkan dari DAP. Harapkan Karpal Sing dan Kit Siang terima Islam PAS? Bagi saya mengarut saja harapan tu. PAP dan DAP ni memang menggunakan pendekatan sebagaimana Yahudi di USA. Lihatlah strategi PRU12 yang lalu. Bukankah banyak menggunakan psikologi dan perang saraf. Rakyat dirayu hanya untuk mengurangkan majoriti BN sahaja. Kalau semua orang berfikiran untuk mengurangkan majoriti, PR akan menang kerana semua orang akan mengundi PR hanya untuk mengurangkan majoriti tanpa sedar orang lain juga berfikir sepertinya.

PKR
PKR dan UMNO sama sahaja. PKR adalah acuan UMNO. Buktinya lihatlah tindakan ahli2 PKR. Tak ada beza pun dgn MNO. Dengan rasuah, kronisme, masalah moral dsbnya. PKR hanyalah untuk legasi Anwar Ibrahim. Perjuangan PKR hanya untuk menjadikan DSAI PM. Seorang pemimpin sebenar tak akan menyusahkan pengikut semata2 untuk membela dirinya. Memang diakui DSAI seorang yang amat bijak. Namun kebijaksanaan dan tindakannya boleh diragui kebenarannya.

BN dan UMNO
Semua pun sudah sedia maklum masalah UMNO dan BN.

Sambung krisis perak.
Pada saya Perak lebih baik diperintah BN yang majoriti Melayu Islam drp PR yang majoriti Cina DAP. Dlm BN Perak kalau tak salah hanya 2 atau 3 orang shj bukan Melayu. Yang lainnya Melayu. Seburuk2 BN dan UMNO mereka tetaplan orang kita. Jadi tindakan mereka takkan menjatuhkan kita dan menguntungkan Cina spt PR Perak.

Apa yang berlaku di Perak ada Pro dan Kontra.

PRO - Rakyat Perak terutama Melayu akan kembali lega dengan kuasa pemerintahan kembali ke tangan Melayu Islam. Jadi dapat mengelak kes pemberian tanah yang tidak logik seperti pajakan 999 tahun oleh PR kpd kg Cina.

KONTRA - Mungkin juga situasi takkan berubah. Di mana BN akan cuba mengambil hati orang Cina dengan mengambil pendekatan sama spt PR demi memastikan mendapat sokongan dalam PRU13. BN juga mesti bersedia menghadapi dan menerima padah andainya kata2 DSAI untuk merampas Parlimen menjadi kenyataan. Modelnya adalah kemelut di Perak.

Sultan
Diharap krisis Perak takkan mengheret Sultan ke dalam masalah. Sultan adalah payung kita orang Melayu. Tanpa Sultan maruah dan kepentingan Melayu akan tergugat.

3. Krisis Makanan
Malaysia mungkin mengalami masalah kekurangan makanan dalam masa depan andai tiada tindakan sepatutnya diambil. Pada ketika ini pun pengeluaran makanan negara tidak mencukupi dan terpaksa mengimport dari negara luar. Tindakan Pak Lah setelah menjadi PM adalah memajukan industri Pertanian. bagi saya ini adalah suatu langkah bijak dan pandangan jauh ke depan. Memajukan pertanian juga memboleh orang Melay turut sama memperoleh keuntungn kerana pertanian adalah bidang yg mudah diceburi dengan tanah yang ada pada org Melayu. Mungkin ada penasihat yang kasyaf dan bijak di belakang Pak Lah atau berkat keturunan Wali Allah masih ada. Wallhuaklam.

4. Krisis Buah
Semalam, saya mendapat 2 miskol drp seorang sahabat di kampung. Saya pun terus kol die. Lepas bertanya khabar inilah pesanan beliau; "Buah dah masak, tapi orang punya. Kita tak buleh petik lagi. Belum masa kita. Buah ni masak satu persatu. Kalau sepokok durian, masaknya lain2 masa..." .
Saya kata terima kasih sbb bgtau. Saya faham.
Harap2 anda pembaca juga faham.

Sekian mata dah kuyu. Penat. Tapi air belum ada. Jam dah dkt pkl 2 pagi. Kena pi cari air la gamaknya.

Tuesday, February 10, 2009

Makanlah

Makanlah!!!

"Ramai orang bila aku bg makanan, tak mahu makan. Cuma simpan saja. Penat aku hidang pun masih tak mahu. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Orang dah jamu tu makan saja lah."

Hmm... ini antara dialog org tua tu kat aku.

Apelah maksudnya dikata cmtu?? Tahla tak sempat nak bertanya, dah terjaga.

Agaknye suruh aku amal semua ilmu yang diberi kut... Dah aku ni jenis liat sangat nak beramal. Ilmu ambik tapi simpan saja... Ilmu tanpa amal x berguna... Amal tanpa ilmu sia-sia... huhu..

Saturday, February 07, 2009

Mencari Panglima Ismail

KUTEMUI SALSILAH GURU KU
Sumber: http://ponpakya.blogspot.com/

Sukar! Memang sukar mencari Panglima Ismail, ku telah selak helaian sejarah, ku rujuk pakar dan ahli sejarah di utara, tidak juga aku temui akan di kau....wahai Ismail...
Akhirnya aku catatkan bait-bait perjalanan orang terdahulu agar sejarah hidup dan tersemat di hati-hati yang rapuh ini.....

Walaupun karya ini belum siap ditulis, tetap aku tajuk akan ia buat sementara sebagai;




CERITA KASIH BERGURU

Tersebutlah kisah bermula beratus tahun dahulu
Dialunkan cerita dalam irama yang penuh rindu

Menyebut kisah orang-orang yang terbilang
Agar tersemat di jiwa moga kasih tak hilang

Bermula kasih menyebut nama seorang sultan
Pemerintahannya adil di negeri Kedah Darul Aman

Putera pada Sultan Ataullah Muhammad Shah
Memakai gelaran Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah

Raja Abdullah putera dari bondanya Tunku Maheran
Pada tahun 1110 hijrah ditabalkan menjadi sultan

Pada asalnya anak raja ini yang gemar mengembara
Merata arah mencari ilmu ketuhanan dalam beragama

Enam tahun berkelana di serata bumi nusantara
Menjejak kaki hingga ke Sumatera, Jawa dan India

Dalam perjalanan baginda bertemu ulama terbilang
Terus berguru dengan Syeikh Abdul Jalil di Palembang

Anak jati Kedah akhirnya kembali kelubuk juga
Mengambil tanggungjawab mentadbir rakyat jelata

Dalam riwayat hidup Wan Nong dijadikan isteri
Dianugerahkan dua orang putera dan seorang puteri

Tunku Muhammad Jiwa, Ahmad Tajuddin dan Aishah
Yang bakal menjadi sultan pemerintah di negeri Kedah

Begitulah kisah tentang seorang sultan yang berilmu
Yang turut mengamanahkan puteranya agar begitu

………….

Kisah kedua menyebut nama Tunku Muhammad Jiwa
Yang mengikut jejak ayahanda turut pergi berkelana

Berhasrat mencari guru yang sama di Palembang
Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani yang tersayang

Setelah bertemunya guru itu yang dicari-cari
Bermohonlah putera raja untuk mengabdi diri

Hasrat diperkenan guru untuk dijadikan khadam
Guru dari Yaman bebangsa Arab penyebar Islam

Tengku Muhammad Jiwa berguru dengan penuh rahsia
Bahawa dirinya sebenar membawa gelran putera raja

Ikut saja putera ke mana perginya Sheikh Abdul Jalil
Menyebarkan syariat Islam agama yang penuh adil

Bergerak berdua insan ke serata pelusuk tempat
Agar agama Islam tersebar luas dijadikan hasrat

Tibalah mereka berdakwah di kota dan desa diceruk India
Sehingga bertemu seorang pemuda Hafisab gelarannya

Pemuda India menjadi sahabat dan menjadi murid setia
Seraya teruslah mengembara daripada dua sekarang bertiga

Setelah sekian lama anak putera raja berguru di rantauan
Terkadang terasa rindu mesra dan cinta tanah kelahiran

Berlandaskan pula sebuah hadis dijadikan peganggan
“Mencintai tanahair adalah sebahagian daripada iman”

Khabarlah Tunku Muhammad Jiwa pada guru dikasihi
Mengenai sebuah negeri yang indah di Tanah Jawi

Dalam samar-samar berceritalah kemakmuran Kedah
Elok dijadikan arah seterusnya untuk berdakwah

Keindahan khabar menarik minat yang mulia guru
Bersiap-siaplah mereka ke Kedah hala mereka tuju

Menaiki kapal berbangsa Maskat mereka bertiga
Kebetulan kapal singgah di India nak ke Tenggara

Dalam pelayaran mereka singgah di Murgi, Burma
Disini kisah terhenti seketika untuk ke Kedah semula

…………….

Kisah ketiga kisah menyayat hati seluruh rakyat
Mendengar berita Sultan ‘Abdullah telah pun mangkat

Malang sekali berita kesedihan tak dapat disampaikan
Kepada Tunku Muhammad Jiwa yang ada dirantauan

Kepergian ayahanda Sultan harus digantikan segera
Ditabalkan saudara sekandung mengambil alih tahta

Maka Tunku Ahmad Tajuddin di gelar Sultan Kedah
Setelah mangkat ayahanda pada tahun 1118 hijrah

Namun belum sempat rakyat Kedah riang gembira
Seluruh negeri kembali muram yang tidak terhingga

Sultan yang baru tiga tahun mengantikan ayahnya
Mangkat juga di atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa

Seluruh rakyat Kedah menjadi semakin mengelabah
Siapakah pula yang akan memerintah negeri Kedah

Kerana Tunku Ahmad Tajuddin kembali tanpa pengganti
Seumur hidup baginda tidak punya putera mahu pun puteri

Yang sedih, muram bertambah tambahlah durja
Kerana kini kerajaan Kedah sudah tidak beraja

Kalau adapun yang layak mengambil alih tahta
Itulah Tunku Muhammad Jiwa yang entah di mana

Segala pembesar negeri kerap duduk berbincang
Macam mana dengan keadaan negeri ini sekarang?

Para pembesar Kedah akhirnya membuat maufakat
Bagai kata pujangga “ sepakat membawa berkat”

Keputusan dibuat sekata takkan berenjak lagi
‘Bahawa Tunku Muhammad Jiwa harus kita cari’

Walaupun enam tahun bakal Sultan menghilang
Usaha harus dilaksana untuk dijemput pulang

Biarpun kesetiap ceruk dan pelusuk dunia yang ada
Mereka harus mencari Sultan mereka sampai jumpa

Mereka tidak mahu semua keturunan raja kedah hilang
Maka perintah dilaksanakan oleh dua hulubalang

Dato’ Kerma Jaya mencari ke arah jurusan Sumatera
Dan Dato’ Indera Mambang naik ke Burma dan India

Masing-masing pergilah mereka dengan harapan
Agar negeri Kedah kembali mempunyai sultan

Untuk sementara Raja Bendahara yang diamanahkan
Sebagai pemangku Sultan Kedah dia diberi jawatan

Disinilah cerita yang awal akan disambung semula
Kisah yang tadi terhenti di pelabuhan Murgi, Burma

……………

Kisah keempat menyebut kisah Dato’Indera Mambang
Berusaha mencari bakal Sultan yang telah menghilang

Setelah puas Dato’Indera Mambang mencari merata
Berjalan belayar dan akhirnya tiba di Murgi,Burma

Ditakdirkan Illahi telah sampai ke pelabuhan yang sama
Di mana rombongan Tunku Muhammad Jiwa berada

Namun Dato’Indera tidak mengenal akan putera raja
Ada mungkin rupa dan parasnya sudah berubah semua

Maklumlah telah bertahun mengembara bersama guru
Barangkali tidak lagi berpakaian asal budaya Melayu

Tetapi bagi Tunku Muhammad Jiwa tidak akan lupa
Pada wajah-wajah pembesar dari negeri ayahandanya

Bertegur sapalah Tunku pada Dato’Indera Mambang
Dalam suara kelu bertanya apa gerangan Dato’datang

Dalam gembira Dato’Indera berceritakan khabar duka
Akan kemangkatan ayahanda dan saudara Tunku juga

Menangislah Tunku Muhammad Jiwa penuh pilu
Sehinggakan Syeikh Abdul Jalil bertanya apa berlaku

Segala kemusykilan guru, mula putera raja menjawab
Satu persatu diceritakan dalam kemahiran bahasa Arab

Barulah tahu Syeikh Abdul Jalil bahawa sekarang ini
Yang muridnya adalah bakal Sultan Kedah sendiri

Barulah tahu akan Dato’ Indera utusan dari Kedah
Bahawa bakal Sultan fasih berbahasa orang di Mekah

Barulah akan tahu semua rakyat negeri Kedah nanti
Bakal Sultan pulang bawa pentadbiran Islam sekali

Barulah akan tahu kita cerita dan kisah selanjutnya
Setelah mereka semua berangkat ke Kedah segera

……………

Kisah kelima kisah pemerintahan Kedah Darul Aman
Tunku Muhammad Jiwa telah ditabal sebagai Sultan

Pada tahun 1122 Hijrah mula memerintah dengan ikhlas
Melaksanakan tugas Sultan Kedah yang ke sembilan belas

Maka bermusyawarahlah Sultan dengan para pembesar
Ingin memberi pangkat dan tugas agar Islam lebih mekar

Dilantiknya Hafisap rakan seguru menjadi Qadhi
Dan gurunya Syeikh Abdul Jalil pula menjadi Mufti

Bermula dari sinilah Kedah semakin berubah cara
Dalam mentadbir negeri ajaran Islam diambil kira

Dengan gelaran Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin
Dalam pemerintah banyaklah perubahan yang penting

Sukatan timbang berubah dan ukuran keluasan juga
Maka diukur pada penambang,tali,jemba dan hasta

Matawang dikira duit, pitis, tera, rial, jempal diilham
Akan kupang dan wang perak mula dinamakan ‘derham’

Jajahan takluk baginda sudah pun mula meluas belaka
Termasuk Ranong daerah Siam sehingga Murgi, Burma

Pada pemerintahan bangindalah Bandar Kota Setar terbina
Balai Besar Negeri didirikan mengikut kiblat akan arahnya

Pada zaman yang sama kisah Mahsuri di Pulau Langkawi
Cerita sumpah tujuh keturunan dengan Aishah di akhiri

Zaman inilah satu zaman penuh dengan kegemilangan
Kisah Sultan menjadikan guru dan Islam sebagai panduan

Dalam cerita Paduka Bonda Cik Puan menjadi pilihan
Sebagai isteri Baginda Sultan sehingga ke akhir zaman

Hasil pengkongsian hidup dan kasih yang kekal abadi
Baginda dianugerahkan tiga putera dan seorang puteri

Dan Seraya mengenang akan jasa pada guru baginda sendiri
Wan Zainab dijodohkan buat Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani

Pada mereka dua orang putera telah dikurniakan oleh Allah
Wan Abdul Qadir dan seorang lagi bernama Wan Abdullah

Wan Abdullah didarjatkan gelaran Seri Maharaja Putera Dewa
Begitulah kisah keturunan guru yang negeri Kedah adanya

Disinilah kisah kasih berganjak pula ke tanah seberang
Mengambil kisah seorang tokoh dalam daerah Palembang

………………….

Kisah keenam meneruskan kisah Syeikh Abdul Jalil Mufti
Yang berulang alik antara Palembang dan Kedah sesekali

Pada suatu ketika Mufti baru saja berkahwin dengan Wan zainab
Telah datang seorang murid dari Palembang menghadap

Memohon jasa baik guru Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani
Pulang ke Palembang merawat murid-murid yang merindui

Di Palembang Raden Siran pula bersusah payah berusaha
Mencari jodoh untuk dikahwinkan untuk guru mereka

Maka berkahwinlah pula akan guru dengan Raden Ranti
Lalu dikurniakan seorang anak yang menjadi tokoh disegani

Syeikh Abdus Shamad Al Falembangi diberi nama
Terkenal sebagai ulama shufi diseluruh Asia tenggara

Bergitulah kisah akan anak guru mufti di Palembang
Yang akan selepas ini kita bercerita dengan panjang

Bergitulah ceritanya Syeikh Abdul Jalil Kedah
Yang akhirnya dimakamkan di Jitra pada 1196 hijrah

…………

Kisah ketujuh mengenai Syeikh Abdus Shamad seterusnya
Kisah berguru dalam pengembaraan sahabat-sahabat setia

Tersebutlah beberapa nama sahabat seperjuangan mereka
Dari Banjar, Pelembang, Bugis, Fatani dan lainnya juga

Termasuklah Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari
Syeikh Daud yang berasal dari Tanah Melayu Fatani

Dilanjutkan cerita maka pergilah mereka mencari ilmu
(lepas itu aku belum sempat bercerita……..)

Bersambung....

Karya ini mungkin bisa satu hari aku sambung dengan izin dan kehendakNya jua.... Buat seketika, aku ingin ucapkan jutaan kasih pada Ayahanda Guru ku Tn Hj Ishak Itam sebagai sumber pendorong ilham untuk aku berkarya dan membuat penyelidikkan sehingga ramai tokoh dan Ulama terbilang ku temui dalam lipatan sejarah bangsa kita, Bangsa Jawi..

Seterusnya pada mereka-mereka yang turut membantu mencari arah ku, di mana Panglima Ismail.

Khususnya;

1. Allahyarham Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah

2. Hj Muhammad b Abdullah (anak murid Pak Hj Zain)

3. Dato' Ismail Saleh

serta tidak pernah ku lupa pada Ayahanda tercinta Almarhum Yahaya Husin @ Chin atau nama samarannya Jihaty Abadi, yang kerap membakar jiwa aku untuk berkarya.

dan akhir kata kasih tak teralih buat Bonda, Almarhumah Pariah Taib yang selalu impikan puteranya suatu hari nanti akan menjadi seperti suaminya yang tersayang.

Hidup berkarya untuk Bangsa yang tercinta.

oleh:say

http://ponpakya.blogspot.com/


Search Engine

Google
Loading...