Oleh Y.M. Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.
Dalam kertas ini ilmu bela diri adalah dimaksudkan dengan ilmu untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman, pencerobohan-pencerobohan dan keganasan-keganasan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab khususnya musuh Allah. Mempertahankan diri pula, dalam ertikata yang luas ialah mempertahankan diri sendiri dan apa jua yang berkaitan dengan diri atau agama, harta dan negara.
Dalam soal mempertahankan diri dari ancaman dan serangan musuh, ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa ilmu bela diri tidak lagi diperlukan kerana kita sudah ada senjata-senjata moden yang boleh membunuh musuh dari jarak jauh. Memang kita tidak menafikan kenyataan bahawa senjata moden itu dapat membedil musuh dari jarak jauh, namun kita berasa hairan kenapakah pada setiap muncung senapang ada diletakkan benet? Tujuan apakah benet itu diletakkan? Bukankah tujuannya untuk menikam musuh dari jarak dekat? Ini membuktikan bahawa ilmu bela diri masih diperlukan walaupun di zaman serba kemajuan yang mempunyai cukup senjata-senjata modennya.
Seperkara lagi, walaupun manusia telah dapat mereka berbagai-bagai alat dan senjata untuk menjamin keamanan manusia dari ancaman musuh, namun ternyata bahawa manusia masih lagi terdedah kepada berbagai-bagai jenis pencerobohan dan ancaman. Oleh itu persedian untuk menjaga diri, agama, harta dan tanahair sentiasa merupakan keperluan asasi lagi dituntut oleh agama.
Nyawa adalah hak Allah. Menjaga dan mempertahankan nyawa menjadi suatu kewajipan utama yang tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Dengan itu mempelajari ilmu bela diri sebagai alat mempertahankan diri merupakan suatu perkara wajib. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud "Dan sediakanlah apa jua jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, kamu menggentarkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu dan musuh-musuh lain juga yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya".
Tuntutan agama supaya seseorang itu mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri sudah tentu mempunyai banyak hikmat-hikmatnya yang tersembunyi. Salah satu hikmatnya yang paling nyata sekali ialah seseorang yang mempelajari ilmu bela diri, dia akan dipanadng mulia dan disanjung oleh sahabat dan masyarakatnya, namun sebaliknya pula pihak musuh merasai gentar dan gerun terhadapnya. Demikianlah kelebihannya orang yang memiliki ilmu bela diri.
Dalam surah al-Zumar, Allah berfirman dengan maksudnya : "…..katakanlah wahai Muhammad : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran." Dalam ayat yang lain Allah berfirman lagi dengan maksudnya : "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"
Jelaslah di sini bahawa, kedudukan ilmu bela diri adalah penting dan tinggi statusnya di sisi Islam. Setiap orang hendaklah sedar tentang pentingnya ilmu ini dan mengambil langkah-langkah untuk mempelajarinya.
Bagi bangsa Melayu, ilmu bela diri yang harus dipelajarinya ialah ilmu sifat, kerana di samping ianya dapat digunakan untuk membela diri ia juga merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada masa sekarang berbagai-bagai jenis ilmu silat Melayu boleh ditemui dan dipelajari. Di antaranya ialah Seni Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Petani, Silat Lincah dan Silat Sendeng. Namun persoalannya sekarang, adakah semua jenis ilmu-ilmu silat Melayu itu benar dan sejajar dengan ajaran dan akidah Islam?
Bagi menjawab persoalan tersebut, seseorang itu hendaklah mengkaji dan menyelidiki dengan teliti jenis-jenis ilmu silat Melayu yang ada, untuk mempastikan kebenarannya sebelum mempelajarinya. Ringkasnya, saya dapat jelaskan bahawa ilmu silat yang sebenar itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti berikut :
Bahawa ilmu silat tidak mengamalkan adat-adat istiadat yang berunsur tahyul dan khurafat; Bahawa ilmu silat itu melatih serta mendidik ahli-ahlinya dengan keberanian bukan mengganas atau menceroboh; dan Bahawa ilmu silat itu mengamalkan ilmu kebatinan yang sebenarnya.
Seni Silat Cekak adalah sejenis silat Melayu yang asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri. Adat-adat istiadat yang digunakan dalam silat ini adalah bersih dan jauh dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sesungguhnya Silat Cekak sememangnya mendokong cita-cita untuk membanteras amalan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam silat-silat Melayu. Antara amalan-amalan karut yang pernah diamalkan oleh setengah-setengah silat ialah membedah dada ayam yang masih hidup untuk melihat hati dan jantungnya bagi tujuan ilmu bela diri; menyapu darah ayam pada kaki untuk untuk mendapat mimpi atau ilham tertentu; menyiram darah ayam di sekitar gelanggang silat untuk meminta sesuatu hajat dan lain-lain lagi. Kita ingin bertanya, untuk siapakah darah ayam itu disiram? Bukankah untuk jin?
Dari segi pelajaran, Seni Silat Cekak mempunyai kaedah pelajaran yang tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya pula sesuai benar dengan gerak-geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama. Pelajaran Seni Silat Cekak tidak sepeti kebanyakan silat-silat lain. Ia lebih menitik beratkan kepada mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh.
Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajur supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Firman Tuhan dengan maksudnya : "Sesiapa yang memusuhi kamu, maka hendaklah kamu memusuhinya sebagaimana dia memusuhi kamu." Pelajaran silat yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bogkak di kalangan ahli-ahli silat akan tetapi mendorong mereka berlaku kasar dan ganas.
Di samping Silat Cekak melatih sifat keberanian yang merupakan sifat lelaki (rijal) ia juga mendidik ahlinya berperangai baik, hidup bersaudara dan menganjur mereka patuh kepada guru dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa. Islam menyuruh patuh kepada guru dan kedua ibu bapa dan melarang keras perbuatan menderhaka kepada mereka. Pendidikan supaya patuh kepada guru dan kedua ibu bapa serta kelebihan-kelebihannya ada dirakamkan di dalam pantun Silat Cekak berikut sebagai rujukan ahli-ahli :
Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.
Taat kepada guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.
Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasa kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhir kelak merosak kita.
Seni Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak; makan gerak di dalam gerak. Adalah mustahil sama sekali dalam suatu ketika itu berlaku dua gerak.
Pada pandangan Seni Silat Cekak, ilmu kebatinan yang sebenar itu ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah itu ialah untuk membersihkan hati dari penyakitnya seperti megah, riya' dan dengki dan supaya hati sentiasa ikhlas terhadap Allah. Setelah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.
Golongan yang menjalani ilmu kebatinan seumpama ini adalah mereka yang berpegang teguh dengan ilmu hakikat dan menganut sepenuhnya ilmu syariat yang kedua-keduanya dari syariat nabi besar Muhammad S.A.W. Ilmu ini jika diperolehi, bermacam-macam kelebihan yang Allah kurniakan. Jika seorang pendekar, maka sangat pantas kaki tangannya. Tatkala berdepan dengan musuh mendapat maunah Allah, dan ketika berhujah dapat mematahkan hujah lawan dengan mudahnya.
Sekiranya kita tidak meneliti dan mendalami ilmu kebatinan yang sebenarnya ini, kita boleh tertipu dengan perkara-perkara luar biasa yang datangnya dari ilmu-ilmu kebatinan yang tidak sebenar, misalnya seseorang dapat membuktikan ilmu kebalnya dengan berjalan di atas bara api atau tidak mati walau ditanam di dalam tanah, maka kita boleh menyangka bahawa itulah ilmu batin yang sebenarnya.
Perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat bolehlah kita kategorikan kepada lima iaitu pertamanya mukjizat, ia diberi kepada rasul-rasul Allah; keduanya Irhas, ia diberi kepada nabi-nabi; ketiganya keramat, ia dikurnia kepada wali-wali Allah; keempatnya hikam/ma'unah, ia dikurniakan kepada orang-orang mukmin. Sementara kelimanya istidraj atau sihir, ia terjadi kepada orang-orang munafik, fasik dan kuffar.
Kesimpulannya bahawa Islam sememangnya memandang mulia terhadap ilmu-ilmu bela diri kerana ia adalah suatu cabang ilmu pengetahuan yang digesa untuk dipelajari. Walau bagaimanapun bidang-bidang ilmu bela diri bermacam-macam, ada yang sesuai dengan ajaran Islam dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ilmu bela diri yang sesuai dengan Islam ialah ilmu bela diri yang dapat mendidik peribadi ahlinya menjadi baik, berani dan mengarahkan mereka kepada bertakwa kepada Allah. Seni Silat Cekak merupakan sejenis ilmu bela diri bangsa Melayu yang asli yang boleh bertanggungjawab untuk mempertahankan diri serta selari pula dengan ajaran Islam yang sejati.
No comments:
Post a Comment