Wednesday, December 12, 2007

ISU-ISU LUPA DALAM SEMBAHYANG


Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:

ISU-ISU LUPA DALAM SEMBAHYANG

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Contoh-Contoh Lupa Sunat Sembahyang

1. Sunat ab‘ad.
Iaitu perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.

2. Sunat hai’at.
Iaitu perkara sunat yang tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila
ditinggalkan.


Sunat-sunat ab‘ad itu terdiri daripada:

1. Tasyahhud awal dan duduknya.
2. Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.
3. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.
4. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
5. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir.
6. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.


Sunat-sunat hai’at pula ialah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:

1. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbiratulihram, ketika hendak rukuk, ketika bangkit daripada rukuk dan ketika bangkit daripada tasyahhud awal.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca at-ta‘auuz sebelum surah al-Fatihah.
4. Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah pada dua rakaat permulaan.
5. Melafazkan takbir ketika takbir intiqalat (takbir perpindahan daripada satu rukun ke satu rukun yang lain.
6. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.


Berbalik pada permasalahan apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya.

1. Lupa Melakukan Sunat Hai’at

Jika perkara-perkara sunat hai’at ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa, maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi. Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedang dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya. Lain pula halnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut.

2. Lupa Melakukan Sunat Ab‘ad

Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘ad walau tertinggal lebih daripada satu, maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Umpamanya tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf dalam ayat “, maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Demikian juga qunut subuh atau qunut witir (tidak termasuk qunut nazilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf dalam ayat ”, maka disunatkan sujud sahwi.


3. Ingat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang

Adapun jika teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu sebelum intishab (had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah) atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud), maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘ad yang tertinggal itu.

Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishab, maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal. Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang. Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi.

Demikian juga halnya jika seseorang teringgal qunut kemudian dia menuju untuk melakukan sujud, lalu teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna, maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal. Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had rukuk (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu rukuk.

4. Ingat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang

Apabila teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu setelah intishab atau sujud, maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘ad tersebut. Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam.

Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian teringat setelah dia sampai intishab (berdiri tegak), maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal. Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya. Lain halnya jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.

Demikian juga dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.

5. Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘ad

Jika seseorang syak pada meninggalkan sunat ab‘ad, maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘ad.

Umpamanya terjadi syak pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.

6. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘ad

Apabila imam tertinggal sunat ab‘ad kemudian teringat sebelum intishab atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu, maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishab atau sujud. Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufaraqah.

Umpamanya imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishab (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum wajib mengikuti imamnya itu walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishab.

Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat setelah imam intishab, lalu imam kembali pada melakukuan tasyahhud tersebut, maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal, maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya. Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum. Pertama, hendaklah makmum itu mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam). Ataupun yang kedua, makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.

Jika dalam hal imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishab, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut, maka batal sembahyang makmum itu. Lain halnya jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.

Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu berdiri intishab sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.


Cara Mengerjakan Sujud Sahwi

Sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.

Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang. Hanya ada pendapat mengatakan zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi itu ialah Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.

Wajib berniat sujud sahwi, iaitu mengqasadkan dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.

Dengan penjelasan-penjelasan mengenai keadaan-keadaan lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.

Search Engine

Google
BM4