Tuesday, December 20, 2011

Tewasnya Perjuangan

Perjuangan yang dulunya gah menjadi sumber inspirasi kini hanya menjadi suatu kenangan. Bahkan kadangkala menjadi suatu mimpi ngeri kerana perjuangan yang dibanggakan dahulu kini hanya memakan diri. Merosakkan diri, masyarakat, bangsa dan agama.

Perjuangan demi agama, bangsa dan negara akhirnya hancur demi kuasa, politik dan cita-cita. Kekuatan yang dibina sekian lama dipergunakan sebaliknya.

Kesucian perjuangan dirosakkan dari dalam oleh anasir-anasir asing. Keikhlasan, dan pengorbanan diperdagang demi mencapai cita-cita harta, takhta dan wanita.

Yang menjadi mangsa adalah mereka yang tak mengerti dan taksub membabi buta. Hanya memandang sehala. Tidak menggunakan akal yang ada. Para pengikut buta inilah yang menjadi anjing menggigit perjuangan yang asal.

Buang EGO....
Bermuhasabahlah...
Benarkah aku di landasan yang benar?
Atau terpesong secara tak sedar?
Bolehkah aku mengubah keadaan?

Berjuanglah....
Berjuang kini bukan lagi perjuangan dahulu
Tapi kini perjuangan diri sendiri
Keluarkan diri dari jalan yang salah itu...

Perjuangan yang sebenar
Tak mengenal erti kecewa
Cuma ada masanya berundurlah seketika
Menyusun cara berjuang semula


Beranikanlah...
Beranikan diri
Kumpul segala kekuatan, pengorbanan dan usaha
Untuk keluar dari perjuangan yang ternoda
Inilah perjuangan terbesar

Sucikan diri dari kesesatan dan penyelewengan dalam wadah perjuangan anda. Tiada suatu cara membersihkan wadah perjuangan melainkan membersihkan diri terdahulu.

Apabila datang yang benar, yang batil pasti akan musnah....

Kebenaran hanya dibawa oleh sebilangan yang kecil. 73 golongan hanya satu yang benar. Bersabarlah dan terus berjuang dilandasan kebenaran. Pejuang kebenaran akan bertemu dan bersatu jua akhirnya. Dengan pemimpin dan pejuang sebenar.


Wasalam.

Search Engine

Google
Loading...