Tersebutlah kisah bermula beratus tahun dahulu
Dialunkan cerita dalam irama yang penuh rindu
Menyebut kisah orang-orang yang terbilang
Agar tersemat di jiwa moga kasih tak hilang
Bermula kasih menyebut nama seorang sultan
Pemerintahannya adil di negeri Kedah Darul Aman
Putera pada Sultan Ataullah Muhammad Shah
Memakai gelaran Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah
Raja Abdullah putera dari bondanya Tunku Maheran
Pada tahun 1110 hijrah ditabalkan menjadi sultan
Pada asalnya anak raja ini yang gemar mengembara
Merata arah mencari ilmu ketuhanan dalam beragama
Enam tahun berkelana di serata bumi nusantara
Menjejak kaki hingga ke Sumatera, Jawa dan India
Dalam perjalanan baginda bertemu ulama terbilang
Terus berguru dengan Syeikh Abdul Jalil di Palembang
Anak jati Kedah akhirnya kembali kelubuk juga
Mengambil tanggungjawab mentadbir rakyat jelata
Dalam riwayat hidup Wan Nong dijadikan isteri
Dianugerahkan dua orang putera dan seorang puteri
Tunku Muhammad Jiwa, Ahmad Tajuddin dan Aishah
Yang bakal menjadi sultan pemerintah di negeri Kedah
Begitulah kisah tentang seorang sultan yang berilmu
Yang turut mengamanahkan puteranya agar begitu
………….
Kisah kedua menyebut nama Tunku Muhammad Jiwa
Yang mengikut jejak ayahanda turut pergi berkelana
Berhasrat mencari guru yang sama di Palembang
Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani yang tersayang
Setelah bertemunya guru itu yang dicari-cari
Bermohonlah putera raja untuk mengabdi diri
Hasrat diperkenan guru untuk dijadikan khadam
Guru dari Yaman bebangsa Arab penyebar Islam
Tengku Muhammad Jiwa berguru dengan penuh rahsia
Bahawa dirinya sebenar membawa gelran putera raja
Ikut saja putera ke mana perginya Sheikh Abdul Jalil
Menyebarkan syariat Islam agama yang penuh adil
Bergerak berdua insan ke serata pelusuk tempat
Agar agama Islam tersebar luas dijadikan hasrat
Tibalah mereka berdakwah di kota dan desa diceruk India
Sehingga bertemu seorang pemuda Hafisab gelarannya
Pemuda India menjadi sahabat dan menjadi murid setia
Seraya teruslah mengembara daripada dua sekarang bertiga
Setelah sekian lama anak putera raja berguru di rantauan
Terkadang terasa rindu mesra dan cinta tanah kelahiran
Berlandaskan pula sebuah hadis dijadikan peganggan
“Mencintai tanahair adalah sebahagian daripada iman”
Khabarlah Tunku Muhammad Jiwa pada guru dikasihi
Mengenai sebuah negeri yang indah di Tanah Jawi
Dalam samar-samar berceritalah kemakmuran Kedah
Elok dijadikan arah seterusnya untuk berdakwah
Keindahan khabar menarik minat yang mulia guru
Bersiap-siaplah mereka ke Kedah hala mereka tuju
Menaiki kapal berbangsa Maskat mereka bertiga
Kebetulan kapal singgah di India nak ke Tenggara
Dalam pelayaran mereka singgah di Murgi, Burma
Disini kisah terhenti seketika untuk ke Kedah semula
…………….
Kisah ketiga kisah menyayat hati seluruh rakyat
Mendengar berita Sultan ‘Abdullah telah pun mangkat
Malang sekali berita kesedihan tak dapat disampaikan
Kepada Tunku Muhammad Jiwa yang ada dirantauan
Kepergian ayahanda Sultan harus digantikan segera
Ditabalkan saudara sekandung mengambil alih tahta
Maka Tunku Ahmad Tajuddin di gelar Sultan Kedah
Setelah mangkat ayahanda pada tahun 1118 hijrah
Namun belum sempat rakyat Kedah riang gembira
Seluruh negeri kembali muram yang tidak terhingga
Sultan yang baru tiga tahun mengantikan ayahnya
Mangkat juga di atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa
Seluruh rakyat Kedah menjadi semakin mengelabah
Siapakah pula yang akan memerintah negeri Kedah
Kerana Tunku Ahmad Tajuddin kembali tanpa pengganti
Seumur hidup baginda tidak punya putera mahu pun puteri
Yang sedih, muram bertambah tambahlah durja
Kerana kini kerajaan Kedah sudah tidak beraja
Kalau adapun yang layak mengambil alih tahta
Itulah Tunku Muhammad Jiwa yang entah di mana
Segala pembesar negeri kerap duduk berbincang
Macam mana dengan keadaan negeri ini sekarang?
Para pembesar Kedah akhirnya membuat maufakat
Bagai kata pujangga “ sepakat membawa berkat”
Keputusan dibuat sekata takkan berenjak lagi
‘Bahawa Tunku Muhammad Jiwa harus kita cari’
Walaupun enam tahun bakal Sultan menghilang
Usaha harus dilaksana untuk dijemput pulang
Biarpun kesetiap ceruk dan pelusuk dunia yang ada
Mereka harus mencari Sultan mereka sampai jumpa
Mereka tidak mahu semua keturunan raja kedah hilang
Maka perintah dilaksanakan oleh dua hulubalang
Dato’ Kerma Jaya mencari ke arah jurusan Sumatera
Dan Dato’ Indera Mambang naik ke Burma dan India
Masing-masing pergilah mereka dengan harapan
Agar negeri Kedah kembali mempunyai sultan
Untuk sementara Raja Bendahara yang diamanahkan
Sebagai pemangku Sultan Kedah dia diberi jawatan
Disinilah cerita yang awal akan disambung semula
Kisah yang tadi terhenti di pelabuhan Murgi, Burma
……………
Kisah keempat menyebut kisah Dato’Indera Mambang
Berusaha mencari bakal Sultan yang telah menghilang
Setelah puas Dato’Indera Mambang mencari merata
Berjalan belayar dan akhirnya tiba di Murgi,Burma
Ditakdirkan Illahi telah sampai ke pelabuhan yang sama
Di mana rombongan Tunku Muhammad Jiwa berada
Namun Dato’Indera tidak mengenal akan putera raja
Ada mungkin rupa dan parasnya sudah berubah semua
Maklumlah telah bertahun mengembara bersama guru
Barangkali tidak lagi berpakaian asal budaya Melayu
Tetapi bagi Tunku Muhammad Jiwa tidak akan lupa
Pada wajah-wajah pembesar dari negeri ayahandanya
Bertegur sapalah Tunku pada Dato’Indera Mambang
Dalam suara kelu bertanya apa gerangan Dato’datang
Dalam gembira Dato’Indera berceritakan khabar duka
Akan kemangkatan ayahanda dan saudara Tunku juga
Menangislah Tunku Muhammad Jiwa penuh pilu
Sehinggakan Syeikh Abdul Jalil bertanya apa berlaku
Segala kemusykilan guru, mula putera raja menjawab
Satu persatu diceritakan dalam kemahiran bahasa Arab
Barulah tahu Syeikh Abdul Jalil bahawa sekarang ini
Yang muridnya adalah bakal Sultan Kedah sendiri
Barulah tahu akan Dato’ Indera utusan dari Kedah
Bahawa bakal Sultan fasih berbahasa orang di Mekah
Barulah akan tahu semua rakyat negeri Kedah nanti
Bakal Sultan pulang bawa pentadbiran Islam sekali
Barulah akan tahu kita cerita dan kisah selanjutnya
Setelah mereka semua berangkat ke Kedah segera
……………
Kisah kelima kisah pemerintahan Kedah Darul Aman
Tunku Muhammad Jiwa telah ditabal sebagai Sultan
Pada tahun 1122 Hijrah mula memerintah dengan ikhlas
Melaksanakan tugas Sultan Kedah yang ke sembilan belas
Maka bermusyawarahlah Sultan dengan para pembesar
Ingin memberi pangkat dan tugas agar Islam lebih mekar
Dilantiknya Hafisap rakan seguru menjadi Qadhi
Dan gurunya Syeikh Abdul Jalil pula menjadi Mufti
Bermula dari sinilah Kedah semakin berubah cara
Dalam mentadbir negeri ajaran Islam diambil kira
Dengan gelaran Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin
Dalam pemerintah banyaklah perubahan yang penting
Sukatan timbang berubah dan ukuran keluasan juga
Maka diukur pada penambang,tali,jemba dan hasta
Matawang dikira duit, pitis, tera, rial, jempal diilham
Akan kupang dan wang perak mula dinamakan ‘derham’
Jajahan takluk baginda sudah pun mula meluas belaka
Termasuk Ranong daerah Siam sehingga Murgi, Burma
Pada pemerintahan bangindalah Bandar Kota Setar terbina
Balai Besar Negeri didirikan mengikut kiblat akan arahnya
Pada zaman yang sama kisah Mahsuri di Pulau Langkawi
Cerita sumpah tujuh keturunan dengan Aishah di akhiri
Zaman inilah satu zaman penuh dengan kegemilangan
Kisah Sultan menjadikan guru dan Islam sebagai panduan
Dalam cerita Paduka Bonda Cik Puan menjadi pilihan
Sebagai isteri Baginda Sultan sehingga ke akhir zaman
Hasil pengkongsian hidup dan kasih yang kekal abadi
Baginda dianugerahkan tiga putera dan seorang puteri
Dan Seraya mengenang akan jasa pada guru baginda sendiri
Wan Zainab dijodohkan buat Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani
Pada mereka dua orang putera telah dikurniakan oleh Allah
Wan Abdul Qadir dan seorang lagi bernama Wan Abdullah
Wan Abdullah didarjatkan gelaran Seri Maharaja Putera Dewa
Begitulah kisah keturunan guru yang negeri Kedah adanya
Disinilah kisah kasih berganjak pula ke tanah seberang
Mengambil kisah seorang tokoh dalam daerah Palembang
………………….
Kisah keenam meneruskan kisah Syeikh Abdul Jalil Mufti
Yang berulang alik antara Palembang dan Kedah sesekali
Pada suatu ketika Mufti baru saja berkahwin dengan Wan zainab
Telah datang seorang murid dari Palembang menghadap
Memohon jasa baik guru Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani
Pulang ke Palembang merawat murid-murid yang merindui
Di Palembang Raden Siran pula bersusah payah berusaha
Mencari jodoh untuk dikahwinkan untuk guru mereka
Maka berkahwinlah pula akan guru dengan Raden Ranti
Lalu dikurniakan seorang anak yang menjadi tokoh disegani
Syeikh Abdus Shamad Al Falembangi diberi nama
Terkenal sebagai ulama shufi diseluruh Asia tenggara
Bergitulah kisah akan anak guru mufti di Palembang
Yang akan selepas ini kita bercerita dengan panjang
Bergitulah ceritanya Syeikh Abdul Jalil Kedah
Yang akhirnya dimakamkan di Jitra pada 1196 hijrah
…………
Kisah ketujuh mengenai Syeikh Abdus Shamad seterusnya
Kisah berguru dalam pengembaraan sahabat-sahabat setia
Tersebutlah beberapa nama sahabat seperjuangan mereka
Dari Banjar, Pelembang, Bugis, Fatani dan lainnya juga
Termasuklah Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari
Syeikh Daud yang berasal dari Tanah Melayu Fatani
Dilanjutkan cerita maka pergilah mereka mencari ilmu
(lepas itu aku belum sempat bercerita……..)
Bersambung....
Karya ini mungkin bisa satu hari aku sambung dengan izin dan kehendakNya jua.... Buat seketika, aku ingin ucapkan jutaan kasih pada Ayahanda Guru ku Tn Hj Ishak Itam sebagai sumber pendorong ilham untuk aku berkarya dan membuat penyelidikkan sehingga ramai tokoh dan Ulama terbilang ku temui dalam lipatan sejarah bangsa kita, Bangsa Jawi..
Seterusnya pada mereka-mereka yang turut membantu mencari arah ku, di mana Panglima Ismail.
Khususnya;
1. Allahyarham Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah
2. Hj Muhammad b Abdullah (anak murid Pak Hj Zain)
3. Dato' Ismail Saleh
serta tidak pernah ku lupa pada Ayahanda tercinta Almarhum Yahaya Husin @ Chin atau nama samarannya Jihaty Abadi, yang kerap membakar jiwa aku untuk berkarya.
dan akhir kata kasih tak teralih buat Bonda, Almarhumah Pariah Taib yang selalu impikan puteranya suatu hari nanti akan menjadi seperti suaminya yang tersayang.
Hidup berkarya untuk Bangsa yang tercinta.
oleh:say
http://ponpakya.blogspot.com/
5 comments:
Ponpakya yang saya kenali secara peribadi adalah seorg yg banyak mengkaji tentang sejarah psscm. Beliau menjadi antara 'key person' dalam mempertahankan YM Guru Utama dalam krisis PSSCM 1993. Antara 'orang lama' yang mempunyai maklumat mendalam mengenai PSSCM.
entri yng bagus, dn juga kerana memperkenalkn blog tersebut..
byk lagi yang belum sy terokai dlm sejarah tersebut,baik dr persatuan sendiri..
bagus
Assalamualaikum, k9999a. Saudara pengamal silat cekak jugak ker?
As salam....aku nie berketurnan dari panglima ismail kira aku nie pangkat cicit ler..keturunan sebelah abah aku dari batu kurau..aku dok tgk2...blog2..byk dik menceritakan tentang semua pasal moyang aku nie...aku sebenar nya tak ambik port sgt...aku tahu beliau org hebat...tk lut senjata...aku sendiri tak tahu malah keluargaaku sendiri pun tk tahu dimanakuburnya...yang aku tahu...panglima ismail mati ditembak dgn peluru emas..itu pun ada kawan nya sendiri yang belot...yang mendedahkan rahsia nya...kemudian kepala nya di penggal..kemudia di tanam..jasad badan nya di kedah...dan kepala nya ada di museum pulau pinang...kalau tidak dipenggal kepala nya di kuatiri...jasad nya akan hidup kembali..begitu lah...cerita tentang panglima ismail...atau org dok panggey panglima "may" setengah org dok gelor raja ismail kinta...al-fatihah
Post a Comment