YM Tuan Haji Ishak Bin Itam
Presiden / Guru Utama PSSCM
Berita Cekak, Bilangan 2, Jun 2003
Presiden / Guru Utama PSSCM
Berita Cekak, Bilangan 2, Jun 2003
Alhamdulillah, bertemu kembali di dalam Berita Cekak Bilangan 2 pada tahun ini. Di dalam kesempatan ini saya ingin menjelaskan konsep bersyukur untuk kita sama-sama hayati serta amalkan. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mensyukuri nikmat Allah yang diberikan kepada kita tidak dapat kita balas atau dibeli dengan wang ringgit. Kita selalu lupa dan leka dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.
Lihat sahaja pada diri kita, apakah anugerah yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Allah telah menganugerahkan kepada kita tiga pancaindera yang utama dan amat berharga iaitu mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan mulut untuk berkata-kata. Tiga pancaindera ini tidak boleh dibuat atau dicipta oleh manusia. Kita boleh lihat di sekeliling kita, ada manusia yang dicipta mempunyai mata tetapi tidak boleh melihat, ada yang dicipta mempunyai telinga tetapi tidak boleh mendengar dan ada yang dicipta mempunyai mulut tetapi tidak boleh berkata-kata. Bersyukur kita kepada Allah kerana kita dilahirkan dalam keadaan yang sempurna. Cuba kita bayangkan salah satu pancaindera tersebut tidak terdapat pada diri kita.
Kurniaan Allah yang amat bernilai kepada manusia adalah akal. Akallah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Maka gunakanlah akal kita dengan baik untuk kita berfikir. Banyak lagi kurniaan Allah kepada kita seperti kesihatan yang sihat, keamanan Negara dan sebagainya. Jika dinilai sudah tentu kita tidak mampu membalasnya.
Dalam memahami konsep bersyukur adalah lebih baik kita mengambil renungan daripada firman Allah surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepadamu dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku amat pedih".
Bersyukur dengan hati kita sentiasa memuji serta mengingati Allah, bersyukur dengan pertuturan kita sentiasa berdoa serta mengucapkan syukur kepada Allah dan bersyukur dengan perbuatan kita sentiasa membuat sesuatu yang baik dengan ikhlas. Dengan perbuatan inilah masyarakat pada hari ini kurang mempraktikkannya. Kita berkira dengan masa kita untuk kebaikan, kita berkira wang ringgit kita untuk kebaikan dan kita berkira dengan idea kita untuk kebaikan. Kesimpulannya kita wajib bersyukur kepada Allah dengan kurniaan yang diberikan kepada kita dengan ketiga-tiga cara bersyukur iaitu dengan hati, pertuturan dan perbuatan. Antara amalan yang boleh diamalkan selepas solat ialah dengan membaca ayat ini iaitu:
Yang bermaksud "Aku memohon keampunan dari Allah, tuhan yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun."
Sekian, Wassalam.
No comments:
Post a Comment