Bismillahirrahmanirrahim... Alhamdulillahi robbil 'alamin...
Di awal-awal pagi ni sebelum berdau tiba-tiba ada pulak idea nak menulis. Perkara ni sebenarnya dah agak lama berlegar dalam kepala. Cuma tunggu masa saja nak keluar. Macam orang kata jadi dulu sebelum lahir.
Taat kepada guru membawa berkat
Sedikit belajar banyak yang dapat
Jika derhaka menjadi mudarat
Semua ilmu tiada yang lekat
Sememangnya sebagai murid kita wajib mentaati segala perintah dan tunjuk ajar seorang guru. Pada seorang guru Allah kurniakan berkat. Yang mana dengan berkat itulah seorang guru lebih daripada murid. Sebagaimana makanan yang halal itu berkat berbanding makanan haram.
Seorang guru yang benar dan sampai wajib ditaati demi menyampaikan kita kepada tujuan hidup sebenar. Gurulah yang akan menunjuk jalan dan membetulkan segala kesilapan kita. Sebelum berguru kita perlulah mengetahui sedikit sebanyak ciri-ciri seorang guru yang sebenar.
Sebenar guru ada hakikat
Dikuat pula amalan syariat
Ditambah dengan ilmu makrifat
Berpakaian pula dengan isyarat
Guru yang sebenar bersifat siddiq. Serendah-rendah guru mesti mempunyai sifat siddiq ini barulah boleh bergelar guru. Kalaulah tiada siddiq maka kita sama sekali tidak boleh menerimanya sebagai guru. Guru yang tiada siddiq akan menyeleweng, membawa ajaran yang salah, menyembnyikan ilmu yang benar dan seumpamanya.
Apabila telah kita ketahui sedikit sebanyak berkenaan guru itu maka bolehlah kita berguru kepadanya bergantung kepada tahap ilm tersebut. Namun usahlah dipertikaikan sangat perihal sampai atau tidaknya guru. Sebagai seorang penuntut mana mungkin kita dapat menilai tahap ilmu seseorang guru itu. Maka belajarlah dahulu sehingga tahap tertentu. Kita sendiri akan dapat menilai tahap guru tersebut apabila tiba masanya dengan izin Allah jua.
Taksub kepada Guru
Ramai juga kalangan yang berguru akhirnya akan bersifat keterlaluan. Terlalu mengagungkan guru sehingga ke tahap penghormatan yang keterlaluan dan tidak wajar. Seorang guru tetap manusia biasa seperti kita juga. Tidak lepas daripada membuat kesalahan dan tidak maksum. Hanya nabi dan rasul yang maksum. Bahkan para nabi juga ada membuat kesilapan. Namun diampunkan Allah kerana ianya sebagai pengajaran bagi kita umat terkemudian.
Janganlah sesekali menyembah guru. Pernah terjadi di depan mata saya sendiri, seorang murid sehingga mencium kaki gurunya. Pada saya perbuatan ini amat tidak wajar dan telah menghina gurunya sendiri secara tidak sedar. Ingatlah guru bukan Tuhan yang boleh disembah.
Kelebihan seorang guru hanyalah pada ketinggian ilmunya. Sememangnya kita diperintahkan Allah dan Rasul supaya menhormati dan menyayangi orang-orang berilmu namun bukan sampai ke tahap menyembah atau taksub keterlaluan.
Perbuatan tadi juga dikuatiri boleh menyebabkan seorang guru terpaksa menanggung kesalahan murid tersebut kerana adalah menjadi tanggungjawap seorang guru untuk mendidik murid tersebut. Jadi guru mungkin terpaksa menanggung kafarah atas apa yang berlaku. JAdi seandainya kita benar-benar mengasihi seorang guru bertindaklah sewajarnya. Jangan menjadikan guru itu Tuhan. Dan jangan menjadikan guru seperti berhala yang perlu disembah.
Guru juga manusia biasa. Bahkan Rasulullah saw sebagai manusia teristimewa juga tidak pernah minta disembah seperti itu. Jadikanlah Rasul dan para sahabat sebagai contoh teladan kepada setiap tindakan kita.
Pewaris Nabi
Guru adalah pewaris Nabi. Atas sebab inilah perlunya kita berguru. Mereka inilah pengganti Nabi dalam berperanan sebagai penunjuk jalan yang benar dan membetulkan segala kesalahan. Amar maaruf nahi mungkar.
Sebagai mana kita kasihkan Nabi begitu jugalah kita kasihkan pewaris-pewarisnya. Merekalah yang meneruskan ajaran Rasul dan memastikan Islam kekal asli.
No comments:
Post a Comment