Karangan Faisal Tehrani.
– Bab - Sultan Alauddin belajar tasawuf
MENURUT cerita orang, seorang guru tasawuf dari negeri China barutiba di Melaka, menawarkan ilmunya untuk mengajar ilmu kalam dan ilmutasawuf.
Nuh Ha Mim, guru agama berbangsa Cina itu menetap di Hujung Medini.Sekarang ini di Melaka pekan ini dinamakan Ujong Tanah. Tidak jelasbagaimana tok guru Nuh Ha Mim ini boleh datang dari negeri China danmenginap di Melaka. Apa yang jelas, tok guru itu tidak datang bersamarombongan Hang Li Poh.
Menurut orang setempat tok guru tersebut berhijrah dari Chinabersama anak perempuannya setelah dakwahnya diganggu pemerintah danpenjahat. Nuh Ha Mim telah berhijrah ke Maguindanao dan mengislamkanramai masyarakat di sana. Sekarang ini Maguindanao adalah wilayah didalam negara Filipina.
Ketika itu Kerajaan Islam Maguindanao belum ada lagi. Tok gurutersebut juga banyak mengislamkan orang di Manila. Memang waktu ituKesultanan Islam Manila belum kukuh. Tetapi ramai juga yang berjayadiislamkan oleh Nuh Ha Mim. Kemudiannya nanti kerajaan Islam di Manilaini jatuh di tangan penjajah Sepanyol dalam tahun 1571 dan ramaipenduduk Manila yang sebenarnya Melayu, murtad menjadi penganutKristian. Setelah beberapa lama di Sulu, Nuh Ha Mim berpindah ke PuloUpih.
Sekarang ini Pulo Upih ialah Pulau Upih di perairan negeri Melakayang kurang dipedulikan orang. Madrasah di Pulo Upih memang tersohorwaktu itu dalam menawarkan pengajian tasawuf. Nu Ha Mim menjadi salahseorang guru di sana. Antara muridnya termasuklah Sunan Kalijaga danSyeikh Sutabris. Apabila muridnya makin ramai, Nuh Ha Mim berpindah ketanah besar iaitu di Hujung Medini dan membuka pengajian di rumahnya.
Tatkala itu Sultan Alauddin belum bergelar sultan lagi. Bagindahanya dikenali sebagai Raja Husain. Baginda yang memang sukakan ilmuamat berminat untuk berguru dengan Nuh Ha Mim tetapi tidaklah semudahitu.
Pada mulanya memang sedikit sukar Raja Husain meyakinkan Nuh Ha Mimbahawa baginda memang benar-benar berniat dan mahu belajar tasawuf.Berulang-alik Raja Husain ke Hujung Medini. Berulang kali Raja Husainmeyakinkan Nuh Ha Mim bahawa baginda tidak mahu menjawat takhta menjadiSultan Melaka. Baginda tahu ada orang alim yang memang kurang gemarbergaul dengan pembesar-pembesar dan keturunan raja-raja.
“Tak hendak kita menjadi sultan. Apatah lagi kekanda Raja Ahmadlebih layak menjadi pemerintah mengikut turutan. Tidak ada sebab tokguru mahu menolak kita dari menjadi murid. Dinding emas perak lidahkita, bahawa tak terlintas di hati mahu menjadi raja. Kerja menjadiraja itu banyak tanggungjawabnya. Tak terpikul kita.
“Kalau ada seekor lembu patah kaki kerana jalan di Melaka ini rosakberlubang, nanti akan ditanya Allah di hari akhirat mengapa sultantidak memperbaiki jalan. Kita bukan jenis yang mampu memikul kerjasebesar itu. Biarlah kita mengaji agama saja daripada tok guru.”
Tok Guru Nuh Ha Mim masih belum mahu menerima dengan mudah Raja Husain menjadi muridnya. Tok guru itu meletakkan syarat pula.
“Datangkan kepada kita tujuh jenis benda yang bukan ada hargamelainkan kita meletakkan harga padanya, ia bermula ejanya dengan hurufsin.”
Berpeluh Raja Husain, “Tok guru berilah kita petanda satu demi satu agar dapat dipuaskan hati seorang guru.”
“Benda pertama bermula ejanya dari huruf sin itu duduknya di bawah punggung kita.”
Bergegaslah Raja Husain ke Pasar Melaka mendapatkan safra untuk Nuh Ha Mim.
“Inilah kain alas, duduknya di bawah punggung tok guru. Bukanlah ia benda berharga jika tidak dihargai begitu.”
“Datangkan kita sebuah rumah kecil, tidak berpenghuni lagi, tidak ada kekayaan lagi di rumah itu.”
Penuh teka-teki. Tetapi Raja Husain remaja yang pintar. Fikirannyaberjalan kerana banyak menelaah kitab. Bukan seperti kekandanya RajaAhmad yang sepanjang siang berhibur dengan irama-irama, tarimenari danbersuka gembira daripada sekian dayang. Bergegaslah Raja Husain kehutan di sekitar Paya Rumput, mencari pohon yang di puncaknya atau padadahannya tersangkut sarang lebah yang sudah ditinggalkan.
“Inilah sambang. Sarang lebah sudah kosong tiada berisi keranaditinggalkan penghuninya. Memang ia tiada kekayaan lagi kerana madunyasudah habis dipungut orang. Tiadalah ia punya erti apa-apa lagi.”
Nuh Ha Mim tersenyum, masih menduga lagi, “Benda ketiga bermulaejanya dari huruf sin itu hanyalah mengisi air dari hujung jari kita,tidak punya erti apa-apa lagi.”
Raja Husain berlari pulang ke istana, masuk ke dapur dan mencemaskansekian dayang dan tukang masak kerana raja muda menggeledah dapurmencari sangku.
Berlarian
“Inilah tok guru, sangku, bekas basuh tangan, menadah air daripada jari-jemari tok guru yang selesai menjamah hidangan.”
“Benda seterusnya ialah tidak cukup ia menjadi satu, tidak laku iadi Pasar Melaka.” Nuh Ha Mim terus menguji kesabaran bakal anakmuridnya.
Tanpa berlengah Raja Husain berlarian ke Pasar Melaka dan kembalisemula mempersembahkan, “Inilah kita bawakan sekepeng. Tak cukup iamenjadi satu, tak laku ia untuk digunakan membeli apa-apa barangan pundi Pasar Melaka hatta kayu gaharu atau kapur barus sekalipun.”
“Masih belum sempurna permintaan kita. Ayuh carikan segera sesuatuyang jika tidak ada habis rosak kepala Raja Ahmad, jika ada berertilahsedikit kepalanya.”
Di situlah Raja Husain tergendala. Lama juga baginda berfikir apakahsesuatu yang jika tidak ada, habis rosak kepala Raja Ahmad. Benda ituharus bermula dari huruf sin. Pening kepala juga Raja Husainmemikirkannya. Hakikat bahawa benda itu melibatkan Raja Ahmadmenyebabkan Raja Husain bertambah gusar. Hampir-hampir Raja Husainputus asa.
Raja Husain pun bertandang ke rumah Nuh Ha Mim merayu supaya diberi petunjuk yang lain,
Nuh Ha Mim senyum sahaja. “Selangkas betik berbuah masakan tak terduga anakanda apakah ia yang penuh di kepala Raja Ahmad?”
Dengan petanda yang kecil itulah Raja Husain kembali ke istana danbertanyakan inang yang menjaga Raja Ahmad. Setelah mendapat jawapan,bersorak gembira Raja Husain dan diucap-ucapkan alhamdulillah tidakputus-putus. Raja Husain berlari ke Hujung Medini mempersembahkanselisik.
“Inilah ia, penuh kutu di kepala Raja Ahmad, jika tiada selisik maka rosaklah kepala baginda raja mahkota.”
Nuh Ha Mim tersenyum, masih ada dugaan yang belum dipenuhi lagi. “Dapatkan kita benda yang ada lok pun tidak berguna.”
Raja Husain yang bijaksana itu segera mendapatkan sepukal. Dimintanya daripada seorang hulubalang tua.
“Tuk guru inilah sepukal, keris yang sudah haus matanya, lurus keloknya dan tumpul pula.”
“Baiklah, inilah yang terakhir. Dapatkan benda yang tiada harga padaSultan Mansur Syah. Sudah kelabu, jika di akhirat lebih celaka jika takdapat melepasinya.”
Sekali lagi Raja Husain terperangkap di situ. Lama baginda menilikmemerhatikan baginda sultan hingga Sultan Mansur Syah ayahandanya, punnaik kehairanan.
“Apa gerangan anakanda berkelakuan aneh sebegini?”
“Tidak ada apa-apa. Cuma anakanda memikirkan apakah yang ada pada ayahanda akan terbelah tujuh di akhirat nanti.”
Sultan Mansur Syah tersenyum. “Pada hemat ayahanda seperti yangayahanda maklumi daripada guru ayahanda Kadhi Yusuf, kalau berbuat amalyang baik maka rambut sehalus dibelah tujuh pun dapat kita seberangi.”
Rambut
Mata Raja Husain bercahaya.
“Ampun tuanku ayahanda, jika tiada keberatan, anakanda mengharapkan sehelai rambut tuanku yang telah beruban putih kelabu itu.”
“Untuk apa?”
“Dibuat kenang-kenangan.”
Sultan Mansur Syah ketawa. “Aneh sungguh anakanda. Baiklah apasalahnya.” Baginda Sultan Mansur menanggalkan destarnya.“Mari, cabutlahuban ayahanda seberapa banyak pun yang anakanda mahu.”
Raja Husain keriangan, tanpa berlengah lagi dimasukkan helai rambut itu ke dalam botol kecil dan dibawa pantas ke Hujung Medini.
“Tuan guru, inilah surai baginda ayahanda Sultan Mansur Syah.Surainya putih beruban dan di akhirat kelak jika berbuat amalan baikwalau dibelah tujuh sehalusnya pun akan dapat diseberangi titian sirat.”
Nuh Ha Mim angguk. Akur. Menepuknepuk bahu Raja Husain. “Safra itutempat alas duduk. Dunia ini begitulah tidak lebih besar dari alasduduk. Kita buat alas sekejap sahaja pada punggung kita. Dunia iniibarat sambang, sarang lebah yang kosong. Madu kekayaannya untuk oranglain. Habis juga nanti. Yang tinggal dunia yang kosong, ternampak dariluar pada kulit sahaja, menampakkan bentuk seperti sebuah sarang yangpunya semua tetapi rupa-rupanya sambang sahaja.
“Sangku itu tempat kita menadah kotoran di tangan atau sisa makanan,itu sahajalah taraf dunia ini, tak lebih dari itu. Janganlah kitamembesarkan sangku kerana ia hanyalah mangkuk menadah air basuhan takpunya apa-apa kelebihan. Sekepeng begitulah dunia ini, tidak ada ertiapa-apa. Apa lakunya sekepeng di Pasar Melaka? Apa lakunya kekayaansekepeng di sisi Tuhan?
“Yang kita bawa menghadapnya, iman dan amal sahaja. Selisik,begitulah dunia, seumpama sikat untuk menanggalkan segala kutu yangmelekat di kepala. Kebendaan yang dicari manusia dan kemasyhuranhanyalah kutu yang perlu kita tanggalkan, kita bersihkan denganselisik. Pada sepukal sedarlah kita yang kehebatan manusia itusementara. Tajam akan menjadi tumpul. Lok akan menjadi haus.
“Tidak ada kehebatan dan keperkasaan melebihi kehebatan dankeperkasaan Tuhan. Surai, marilah anakanda kita bertakwa kerana itusahaja yang akan menjaga kita pada hari kita harus menyeberang titiansehalus surai dibelah tujuh. Rasmilah anakanda menjadi murid kita hariini.”
Raja Husain angguk, mengerti, sebulat hati memahami. Bermulalahpelajaran tasawuf untuk seorang bakal sultan. Sultan Alauddin RiayatSyah, Sultan Melaka yang ketujuh.
Begitulah kisahnya, seperti yang diperikan kemudian dalam SejarahMelayu bagaimana Sultan Alauddin yang alim lagi berani itu membinaperibadinya sejak anak-anak lagi.
——————————
No comments:
Post a Comment