Friday, November 30, 2007

Zakat menurut Tariqat



Zakat itu terbahagi kepada 2 jenis:
Pertama, zakat yang ditentukan oleh syariat.
Kedua, zakat menurut pandangan ahli tariqat.

Zakat jenis pertama telah pun makruf.Yang ingin dibicarakan di sini adalah zakat jenis kedua.

Zakat dari sudut pandangan tariqat ialah sebahagian dari "harta kerohanian" yang diperolehi oleh seseorang itu dibagi-bagikan kepada mereka yang memerlukan iaitu kepada fakir miskin dalam bidang kerohanian.

Apa saja yang dihulurkan untuk tujuan berzakat adalah pada hakikatnya terlebih dahulu jatuh pada "tangan" Allah sebelum ianya sampai ke tangan penerimanya.Oleh yang demikian tujuan zakat bukanlah sebenarnya untuk kita membantu fakir miskin itu kerana Allah sendiri adalah Maha Pemberi segala keperluan termasuk orang2 yang fakir miskin itu.Tetapi rahsia sebenarnya di sebalik itu ialah untuk menjadikan niat pemberi zakat itu diterima oleh Allah.

Mereka yang hampir dengan Allah membagi-bagikan ganjaran kerohanian hasil dari ibadat dan amal solehnya dengan niat untuk menghadiahkan pahala amalan solehnya kepada orang2 yang berdosa.Allah dengan rahmatNya mengampunkan dosa2 hamba-hambaNya yang berdosa itu hasil dari pembahagian sebahagian pahala dan ganjaran yang diperolehi oleh hamba-hambaNya yang soleh itu.

Tegasnya, orang2 sufi dalam kategori ini sangat merahmati orang2 awam yang lalai dan selalu menyia-nyiakan dirinya.Amalan mereka kurang, malah dosa semakin bertambah.Orang seperti ini adalah dalam bahaya yang besar namun mereka tidak sedar dan terus hidup dalam kelalaian.

Sebab itulah kaum sufi ini merasa kasihan terhadap kelompok orang2 ini sehingga semua amalan baik dan bakti yang dikerjakannya itu bukan bertujuan untuk meraih pahala yang banyak untuk diri sendiri di hari pembalasan.Bahkan dihadiahkan kesemua pahala itu buat kelompok orang2 yang lalai dan berdosa tadi.Mereka sekalian dianggap miskin.Tidak punya amalan yang baik yang bakal mendinding diri mereka dari api neraka dan azab siksa di akhirat.Kerana itulah mereka dizakatkan dari amalan2 yang dibuat oleh orang2 sufi itu supaya timbangannya menjadi berat.

Orang2 sufi ini tinggal kosong dirinya dari hartabenda keduniaan.Bahkan semua pahala yang diraih dari amalan2 kebajikannya pula sudah dihadiahkan kepada orang lain.Jadi mereka tidak punyai apa2.Kebaktiannya di dunia bukan kerana harta dan pangkat dan kebaktiannya buat akhirat bukan kerana inginkan balasan atau pahala yang banyak.Namun semua yang dilakukannya itu adalah untuk Allah dan semata-mata kerana Allah saja.Dirinya hamba dan Dia adalah Tuannya.Dan sikap hamba mestilah menurut kesemua perintah "Tuan" kerana menunjukkan kepatuhan mutlak.Bukan kerana mencari keuntungan dengan balasan pahala dan sebagainya.Orang yang membelanjakan segala harta miliknya dan tidak mengharapkan balasan apa2 pun adalah dalam peliharaan dan jagaan Allah di dunia dan di akhirat.

Seorang wanita Waliyullah yang bernama Rabiah al-Adawiyah pernah berdoa kepada Allah yang lebih kurang maksudnya:Wahai Tuhanku!Berikanlah semua bahagian(harta) aku dalam dunia ini kepada orang2 kafir dan sekiranya ada ganjaran bagiku di akhirat nanti berikanlah semua ganjaranku itu kepada hambaMu yang beriman.Aku hanya menyintaiMu.Aku hanya mahu bersamaMu.Itu saja yang hamba pinta dariMu.Kerana manusia dan apa yang dimilikinya untuk sementara adalah sebenarnya milikMu jua.

Itulah yang dipinta oleh seorang Abid yang sufi yang merindui Tuhannya.Bukan harta kekayaan dan kemewahan Zahratul-Hayatiddunia yang dimintanya untuk mengecap kehidupan yang mewah dan senang-lenang di dunia ini.Namun kalau dimintanya niscaya akan diberikan Tuhan kepadanya.Dan bukan pula pahala dan ganjaran akhirat yang banyak yang diharap-harapkannya.Malah yang ada untuknya pun semuanya sudah dihadiahkan kepada yang lain.Yang dikejarnya dan dicita-citakannya tiada lain melainkan kecintaan Allah,keredhaanNya,rahmatNya,belas-kasihanNya,ampunan dan maghfirahNya, perlindunganNya,pemerhatianNya,kehampiran diri kepadaNya,duduk bersama-sama di sisiNya untuk mengecap nur dan cahayaNya dan terakhir sekali melihat WajahNya.Itulah kemuncak pengurniaan Allah!Sebab itulah hati mereka tidak pernah berhenti untuk merinduiNya.

Kemudian setiap yang diberikan manusia di jalan Allah dan kerana mencari keredhaan Allah tidaklah hilang sia2 belaka.Malah ia akan diganti dengan sekurang-kurangnya 10 kali ganda.Malah jika ikhlasnya penuh dalam pemberian itu ia akan digandakan lagi sampai tujuh ratus kali ganda atau lebih dari itu.Allah bersifat murah hati.Sedang kita tidak memberi pun nikmat dan kurniaNya datang bercurah-curahan kepada kita.Maka apatah lagi jika kita memberi untuk menunjukkan kesyukuran kita kepadaNya.

Kerana sifat memberi itu adalah sifatNya dan Dia senang melihat hambaNya meniru sifat suka memberi yang menjadi sifatNya itu.Perbendaharaan Allah tidak akan kosong.Dan bila Allah memberi Dia akan memberi dengan "tangan"Nya yang terbuka.

Diolah dari kitab Rahsia Sufi karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani,
Terjemahan:Abd Majid Hj Khatib,
ditahkik dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait.

No comments:

Search Engine

Google
BM4