PENGERTIAN TAWASUL
Ramai di kalangan orang yang tidak berhati-hati dan tiada mengaji tentang ilmu Tasawuf terus menolak amalan Tawasul dan amalan rabitah. Sebenarnya kita mungkin rasa asing dalam kedua-dua amalan ini kerana kita tak memahaminya atau kerana kita tak mengaji Ilmu Tasawuf apatah lagi mengamalkannya.
Ini biasa terjadi kerana kalau orang yang mengaji fardhu ain dia mesti mengaji sekurang-kurangnya 3 ilmu iaitu Ilmu Tauhid , Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf tetapi bagi kebanyakkan orang sekarang mereka belajar ilmu fardhu ain hanya belajar Tauhid dan Ilmu Feqah saja tetapi mengabaikan ilmu Tasawuf kerana dianggap ilmu tasawuf bukan ilmu fardh ain .
Inilah kefahaman yang silap kerana Imam Malik r.a. berkata: “Barangsiapa berfeqah saja tanpa bertasawuf maka ia fasiq dan barangsiapa yang bertasawuf tanpa berfeqah maka ia kafir zindik(penyeleweng), dan barangsiapa yang menghimpunkan antara keduanya maka jadilah ia muslim yang haqiqi”.
Kalau dalam konteks menentukan apa itu ilmu fardhu ‘ain pun tidak selari dengan ulama terdahulu macammana kita nak menentukan sesuatu itu benar atau pun salah?
Penjelasan Tawasul secara ringkas.
Tawasul atau wasilah menurut dalam pengertian bahasa ialah: “Sesuatu yang dekat kepada yang lain”.
Manakala makna dari istilah hukum Islam bermaksud: “Pendekatan kepada Allah Ta’ala dengan mentaati dan beribadah kepadanya, mengikut Nabi-nabi dan Rasul-RasulNya dengan semua amal yang di kasihi dan di redhai-Nya”
Ibnu Abbas menegaskan: Wasilah itu ialah pendekatan(qurbah). Qatadah mentafsirkan qurbah itu ialah: "Dekatkan dirimu kepada Allah Taala dengan mentaati Nya dan mengerjakan amal
yang di redhai Nya maka setiap perintah syarak samada yang wajib mahupun sunnat adalah tawasul atau wasilah mengikut syariat." Dalil naqalnya ialah :
"Hai orang-orang yang beriman ,bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang
mendekatkan diri kepada Nya dan berjihadlah pada jalan Nya supaya kamu mendapat
keberuntungan" (Al Maidah : 35)
Perkataan wasilah dalam ayat di atas kebanyakkan mufasirin hampir senada iaitu menuntut atau mencari pendekatan kepada Allah Taala dengan mentaati dan mengamalkan sesuatu yang di kasihi Allah Taala. Mengamalkan sesuatu amal-jalan (wasilah) yang menuju kepada kehampiran denganNya adalah bentuknya terlalu umum tetapi berdasarkan muafakat dengan Haq Taala.
Diantara penjelasan ahli Tafsir yang senada tadi(sama maksud) ialah:
a. Tafsir Al Khazin j.2 ms 47.
b. Tafsir Ibnu Katsir j2 ms 52-53.
c. Tafsir Fi Zhilalil Quraan j6 ms 146
d. Tafsir Al Futuhatul Ilahiyah ms 488
Manakala Tafsir :
a. Sirojul Munir (Imam Syarbaini Al Khatib)
b. Al Kasysyaf (Imam Zamakhsyari)
c. Anwarut Tanzir (Qadhi Al Baidhawi)
d. Al Kabir (Imam Fakhrur Razi)
Semuanya pada umumnya menyatakan wasilah atau tawasul membawa maksud:
carilah jalan supaya kamu dapat taqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah Ta'ala.
Untuk kita lebih faham tentang perkara ini kita kena tahu pengertian dua perkara dan kedua-dua perkara ini mempunyai dua makna ; kedua-dua perkara ini tidak terpisah sama sekali jika terpisah maka bathil jadinya iaitu:
1. Wasilah- cara atau jalan atau alat.
2. Ghayyah- matlamat atau tujuan.
Makna pertama iaitu Allah Ta'ala memerintahkan kita berwasilah yakni mencari jalan yang diredhaiNya samada amalan wajib atau sunnat samada dengan berdoa, bersholat, bertawasul dengan asma Allah al husna , dengan berkat RasulNya atau dengan amalan sholeh atau dengan keberkatan para auliya samada cara berziarah kubur mereka, membaca maulid , atau mengadakan haul bagi mengingat sejarah perjuangan mereka di atas jalan Allah Ta'ala atau dengan mengasihi mereka yakni dengan menambat hati dengan mereka(rabithah) supaya limpah rahmatNya ke atas kita .
Kesemua amalan-amalan ini dengan syarat berlandaskan syariat Allah DAN bermatlamat (ghayyah) mendekatkan diri kepada Allah iyakni dengan lain perkataan bermaksudkan Allah dan keredhaanNya jua yang di tuntut bukan lainnya.
Makna Kedua iaitu semua wasilah hanyalah wasilah jua (sabit dengan nas syarak) namun yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala. Misalnya kita berdoa atau bertawasul dengan dengan orang-orang shalih di dalam doanya atas jalan Allah Ta'ala bahawasanya kesemua doanya itu mestilah di tujukan kepada Allah Ta'ala dan bukan kepada wasilah itu sendiri secara haqiqatnya dengan I'tiqad yang putus bahawa Allah jua lah yang menentukan dan memaqbulkan segala doa.
Persoalan yang selalu dibangkitkan ialah bolehkah kita mendekatkan diri dengan Allah Ta'ala (bertaqarrub) dengan wasilah atau bertawasul dengan orang yang telah mati atau meninggal dunia?.
Persoalan inilah yang menjadi perselisihan di antara orang yang keliru atau tak memahami hakikat wasilah. Sebenarnya dalil yang mengatakan boleh kita berwasilahkan dengan orang yang telah meninggal dunia boleh di lihat dalam beberapa sudut asalkan caranya dibenarkan oleh syara’ dan I'tiqad kita benar yakni beri'tiqad yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala.
Sudut Pertama: Apakah orang yang mati itu bererti dianya sudah lenyap atau ghaib samasekali?
Ada pendapat yang mengatakan minta tolong dengan orang yang sudah mati adalah sia-sia kerana orang yang sudah mati itu sudah lenyap(tiada) dan tiada boleh buat apa-apa ?
Benarkah pendapat ini?
Sebenarnya orang yang sudah mati itu bukan bermakna mereka telah lenyap atau hancur sama sekali tetapi mereka itu hidup semacam kita cuma mereka telah berpindah alam yakni dari alam dunia yang fana ke alam barzakh atau alam arwah(ruh).
Dalil firmanNya:
“Dan jangan kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah(bahawa mereka itu ) mati bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi kamu tidak enyedarinya(melihatnya)”. (Al Baqarah :157)
Sudut Kedua : Apakah terputus hubungan secara total diantara orang yang hidup
dengan orang yang telah mati ?
Ada pendapat mengatakan bahawa orang yang hidup terputus hubungannya dengan
orang yang mati jadi bagaimana mereka(arwah) boleh menolong orang yang hidup
bersandarkan hadis nabi s.a.w.:
"Apabila anak adam telah mati maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara
iaitu : sedekah jariah , ilmu yang bermanafaat baginya dan anak yang shaleh
yang mendoakan orang tuanya." (Riwayat : Bukhari)
Sebenarnya hadis ini menerangkan kepada kita bahawa orang yang meninggal dunia
segala amal taklifiahnya telah terputus (maknanya sudah tiada lagi sesuatu
amalan yang di pertanggungjawab oleh syarak ke atasnya dan tertutup segala
manafaat sebab tiada lagi amalan yang boleh dilakukan ) kecuali tiga macam amal
tadi tetapi hadis ini bukan menekankan bahawa tiada hubungkait langsung dengan
orang yang hidup, bukan begitu! Kerana kita masih ada kait dengan para arwah
dan ini boleh dilihat dalam dua hubungan iaitu:
a. Hubungan yang hidup dengan si mati. Sebenarnya bukti orang hidup boleh
memberi manafaat dengan para arwah ialah misalnya kita membayar hutang si mati
maka beban mereka di sana akan terangkat insyaallah atau menghadiah kan bacaan
Qulhuallah 11 kali atau membaca yassin lalu di niatkan hadiah kepada si mati
maka insyaallah dapat manafaat pada simati tersebut.
b. Hubungan yang mati dengan si hidup. Bagi para arwah khusus ibu bapa kita dan
orang-orang yang sholeh bahawa mereka akan menolong kita dengan mendoakan untuk
kita dan kesejahteraan kita.
Misalnya dalam surah At Taubah ayat 106 bermaksud:
"Dan katakanlah (hai Muhammad):Hendaklah kalian berbuat. Allah dan RasulNya
serta kaum mukminin akan melihat perbuatan kalian."
Ibnu Katsir menerangkan bahawa setiap amal perbuatan orang-orang yang masih
hidup diperlihatkan kepada sanak-keluarga dan kaum kerabat yang telah meninggal
dunia. Ia mengenengahkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud At
Thayalisi , berasal dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepada sanak-keluarga dan kaum
kerabat. Jika amal kalian itu baik mereka menyambutnya dengan gembira. Jika
sebaliknya, mereka berdoa: Ya Allah , berilah mereka ilham agar berbuat baik
dan taat kepadaMu."
Sudut Ketiga : Apakah orang yang telah mati itu(ruh) boleh menolong?
Jawab kita boleh dan harus. Kerana ini pernah terjadi di zaman semasa dan
selepas wafat nabi s.a.w. dan banyak contoh-contohnya misalnya:
Di antara bukti yang jelas bagaimana orang-orang mati khususnya para nabi dan
para auliya yang telah mati di mana ruh mereka dapat menolong orang yang hidup
ialah sepertimana di waktu Rasulullah s.a.w mikraj ke langit, di mana baginda
Rasulullah s.a.w. telah berjumpa dengan ruh Nabi Adam a.s. dan ruh Nabi Ibrahim
a.s. pada langit pertama dan kedua seterusnya nabi Adam dan nabi Ibrahim
mendoakan kepada Allah Taala supaya diberkati dan di bahagiakan Nabi Muhammad
s.a.w. dan ummatnya.
Keterangan ini bersandarkan pada hadis Ibnu Abbas yang di rawikan oleh Bukhari.
Sedangkan mereka telah pun wafat.
Kemudian terdapat beberapa peristiwa memohon pertolongan dengan nabi s.a.w.
setelah beliau wafat iaitu:
Peristiwa pertama :
Berkata Muhammad bin Al Munkadir:
Seorang lelaki yang akan pergi berjihad , menaruh wang sebanyak 80 dinar di
samping ayahku , sebagai amanat, dan ia berkata kepadanya(ayahku): "jika engkau
memerlukan wang ini maka gunakanlah. Kebetulan terjadi kenaikan harga di
mana-mana maka ayahku menggunakan wang tersebut.
Akhirnya ketika pemilik wang itu datang untuk mendapatkan wang simpanannya
semula maka ayahku meminta dia datang pada keesokan harinya. Malam itu ayahku
pergi ke masjid, duduk dan berdoa kepada makam dan mimbar Rasul.
Ia terus dalam keadaan istighasah(memohon pertolongan) sampai hampir subuh.
Ketika itu , dalam kegelapan masjid, muncul seseorang dan berkata: "Ambil lah
ini, wahai Abu Muhammad, seraya memberikan kepadanya sebuah kantung yang berisi
80 dinar.
Peristiwa kedua:
Abu Bakar Ibn al Muqirri berkata:
Saya dan Thabrani serta Abu Syeikh merasa sangat lapar. Ketika kami berada
disamping makam Nabi s.a.w. Pada malam itu , di sisi makam rasul s.a.w. aku
berkata: "wahai Rasulullah , kami lapar, tidak lama kemudian , terdengar
ketukan di pintu masjid dan masuklah seorang lelaki dari golongan Alawi bersama
dua orang pemuda. Setiap orang dari mereka membawa kerajang yang penuh dengan
makanan setelah kami selesai makan , orang Alawi itu berkata : "Aku melihat
Rasulullah s.a.w. dalam mimpiku dan beliau memerintahkan aku membawakan makanan
untuk kamu semua."
Peristiwa Ketiga:
Ibn Jallad berkata:
Aku memasuki kota Madinah dalam keadaan sangat miskin dan kekurangan. Lalu aku
datang ke maqam Rasulullah s.a.w. dan berkata: "wahai Rasulullah , aku ini
tetamu mu, kemudian aku tidur. Dalam tidur itu aku mimpi melihat Rasulullah
memberikan sepotong roti kepadaku."
Peristiwa Keempat:
Berkata As Sayyid Ja’far bin Hassan Al Barzanji Al Madani dalam kitabnya
“Jaliah Al Karbi Biashabi Sayedil ‘Ajam Wal ‘Arabi yang disebut juga oleh Al
Hamawi dalam kitabnya Nataiju Al Irtihal Was Safari Fil Akhbar Al Qarni Al Hadi
Al Asyar dalam perkara terjemah Al Jami’ Bainas Syariah Wal Haqiqah As Syeikh
Ahmad bin Muhammad Ad Dimayati yang mahsyur dengan panggilan Ibnu Abdul Dhani
Al Banna yang mati di Madinah Munawwarah dalam bulan Muharram tahun 1116 hijrah
katanya:
“Dalam suatu musim haji , saya bersama-sama ibu saya telah menunaikan fardhu
haji. Tahun itu adalah tahun kemarau. Bersama saya ialah dua ekor unta yang
telah saya beli di Mesir. Dengan menaiki dua ekor binatang inilah kami
menyempurnakan haji kami.
Setelah selesai menyempurnakan haji , kami ziarah pula Madinah tetapi kedua-dua
ekor unta kami telah mati di sana, sedang kami tiada punya wang untuk membeli
ganti atau pun menyewanya kepada orang lain(supaya kami dapat pulang semula ke
Mesir). Benar-benar hal ini sudah tidak ada harapan lagi.
Lalu saya pun pergi kepada guru kami Safyuddin Al Qasyasyi. Saya beritahu
kepada beliau keadaan yang berlaku dan menambah :"Sesungguhnya saya berazam
hendak duduk di Madinah ini hanyalah buat sementara waktu saja , kerana masih
penat dalam perjalanan, sehinggalah Allah memudahkan saya (untuk pulang).
Safyuddin Al Qasyassyi mendiamkan diri , kmudian berkata kepada saya : "Awak
pergilah ,masa ini juga , ke kuburan Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib , bapa
saudara Saidina Muhammad s.a.w. Baca sedikit ayat Al Quraan dan terangkan
keadaan diri awak dari awal hingga akhir sebagaimana telah awak ceritakan
kepada saya ,dan awak berdiri di atas kubur yang mulia itu!”
Maka saya pun buat apa yang disuruh. Dengan bergegas saya pun pergi dan pada
masa itu ialah pagi-pagi lagi. Saya baca sedikit ayat Al Qura’an dan saya
terangkan keadaan diri saya seperti yang di suruh oleh guru kami. Dan(lepas
itu) saya balik semula sebelum zohor. Saya masuk ke tempat suci ‘Babul Rahmah’
saya berwudhu’ dan masuk ke dalam masjid. Rupa-rupanya ibu saya sudah sedia ada
dalam masjid.
Beliau berkata kepada saya: “Di sana ada seorang lelaki bertanyakan tentang
kau, pergilah kepadanya”.
Saya bertanya kepada ibu saya: “Dimana dia ? Ibu saya menjawab “Engkau tengok
di sudut paling hujung masjid ini”. Maka saya pun pergi , saya nampak seorang
lelaki berjanggut putih. Tiba-tiba katanya pada saya: “Selamat datang wahai
syeikh Ahmad”. Saya cium tangannya dan kali ini ia bertanya: “Hendak balik
Mesir kah ?”
Saya menjawab : “wahai tuan ! Dengan siapa kah boleh saya balik ?”
Lalu katanya : “Mari ikut saya , saya akan tumpangkan awak kepada seseorang”.
Maka saya pun mengikutnya, sehinggalah kami sampai ke tempat yang bernama ‘Al
Munakhah’ iaitu tempat jamaah haji Mesir tinggal di Madinah.
Setelah memberi salam kepada pemilik khemah , lalu pemilik itu bangun sambil
mencium tangannya dengan cara yang sangat hurmat, katanya kepada orang itu:
“Tujuan saya supaya dapat tuan membawa Syeikh Ahmad dan ibunya menumpang
bersama -sama tuan ke Mesir…” Kemudian ia menyambung lagi : “Berapa tuan kira
ke atasnya ?”(upah atau tambang kerana membawa Syeikh Ahmad dan ibunya).
Menjawab pemilik khemah : “Terpulanglah kepada tuan”.
Katanya : “Baiklah ,begini dan begini ….”
Demikianlah apabila persetujuan di capai , lalu berkatalah ia kepada saya :
“Bangun! Pergilah bawa ibu dan barang-barang awak!”.
Saya pun bangun serta melakukan apa -apa yang disuruhnya, sedang ia masih duduk
bersama pemilik khemah. Sebelum itu , oleh pemilik khemah, saya telah di
syaratkan membayar baki sewa setelah sampai di Mesir kelak. Semua itu di
persetujui dan berikutnya , ia membaca surah Al Fatihah serta menasihatkan saya
tentang kebajikan. Ia bangun dan saya mengikutnya. Setelah sampai di mesjid, ia
berkata kepada saya : “Masuk awak dulu saya kemudian”. Saya pun masuk dan
menunggunya. Hingga selesai sembahyang ,saya belum melihatnya. Puas
berulang-ulang saya mencarinya tetapi tidak berjumpa.
Lalu saya balik semula kepada pemilik khemah bertanyakan tentang orang yang
membawa saya tadi : “Siapa dia yang sebenarnya dan dimana tempat tinggalnya ?”.
Pemilik khemah memberitahu saya bahawa ia sendiri tidak mengetahui dan bahkan
tidak pernah kenal sebelum ini. “akan tetapi” , pemilik khemah itu menyambung
keterangannya kemudian: “ketika ia masuk, satu macam perasaan gerun dan takut
muncul dalam diri saya , yang belum pernah berlaku seumpama itu dalam umur
saya”.
Maka kemudian , saya ulangi lagi mencarinya tetapi tetap tidak berhasil. Lalu
pergilah saya kepada guru saya tadi, As Syeikh Safyuddin Ahmad Al Qasyasya.
Saya terangkan kepada beliau segala kejadian ini. Katanya mengulas : “Ini ialah
ruh Saidina Hamzah r.a. yang menjelma kepada mu”.
Sudut Keempat : Adakah minta tolong pada ruh simati yang sholeh itu boleh
menyebabkan seseorang itu menjadi musyrik(melakukan syirik terhadap Allah
Taala) ?
Jawabnya :TIDAK. Kerana pada kita dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah
berpendapat bahawa segala permintaan kita (doa) kita adalah ditujukan secara
haqiqatnya kepada Allah Taala dan yang dapat memunafaatkan sesuatu atau
memudharatkan sesuatu hanya Allah tidak pada yang lainnya samada makhluk hidup
mahu pun makhluk mati(atau ruh), tidak ada bezanya yang beza cuma secara
fizikal saja pada haqiqatnya tetap sama .
Misalnya:
Kita minta tolong dengan orang yang hidup supaya memenuhi hajat kita tentu
tidak syirik kerana walaupun pada lahirnya nampak seseorang yang menolong kita
tetapi pada haqiqatnya Allah lah yang memenuhi hajat kita. Cuma orang itu
sebagai wasitah (perantara saja) bagi memenuhi hajat kita itu.
Begitu jugalah kalau kita bertawasul atau minta tolong pada ruh orang sholeh
supaya di doakan kita atau memohon berkat darinya kita tetap beritiqad bahawa
ruh si mati itu tiada dapat memberi bekas terhadap hajat atau doa kita dan yang
memberi bekas hanya Allah Taala. Cuma ruh-ruh orang sholeh ini menjadi
wasitah(perantara) sebab doa atau hajat kita di maqbul oleh Allah Taala.
Dalam hal ini Mufti Sayyid Zaini Dahlan Mufti Mekah bermazhab Syafie (pada masa
dulu) berkata:
....dalam soal tawasul ini antara nabi dan nabi-nabi lain , rasul-rasul ,
wali-wali dan orang sholeh , tidak ada perbezaan hidup atau mati kerana mereka
tidak mencipta sesuatu juga , mereka tidakberkuasa sama sekali , hanya BERKAT
mereka di ambil kerana mereka kekasih Allah ; mencipta dan mengadakan hanya
milik Allah , Tunggal dan tiada bersekutu.
Orang yang membezakan antara orang yang hidup dengan orang yang mati, maka
orang itu mengitiqadkan bahawa orang hidup bisa mencipta dan orang yang mati
tidak bisa lagi. Kita berkeyakinan dan beritiqad bahawa yang menjadikan
tiap-tiap sesuatu adalah Allah dan Allah itu menjadikan kita dan menjadikan
pekerjaan kita.
Adapun ramai Ulama besar mengamalkan amalan tawasul di antaranya :
1. Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau
2. Syeikh Sayid Bakfi Syata (pengarang kitab Ianatut Talibin)
3. At Tarabulusi (pengarang kitab Tauhid yang terkenal iaitu Husunul
Hamidiyah)
4. Syeikh Abdul Aziz Al Hakim.
5. Syeikh Ibrahim Musa Parabek (pengarang kitab Hidayatus Sibyan)
6. Imam Ramli (pengarang kitab Nihayatul Muhtaj mazhab Syafie)
7. Syekhul Islam Ibrahim Al Baijuri (pengarang kitab Kifayatul Awam)
8. Abdur Rauf Al Manawi (pengarang kitab Faidhul Qadir Al Jamius Saghir)
9. Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fatani (pengarang kitab Aqidatul
Najin)
10. Syeikh Nawawi Bentan
11. Imam Barzanji
12. dll.
Kalau ramai Ulama besar beramal mestilah ianya boleh dan sangat baik dilakukan
dengan jalan yang betul. Tak akan pula Ulama-Ulama yang terkenal dan di akui
ini akan mengajar atau mengamalkan sesuatu yang menyesatkan. Siapa nak pergi
tempah ke neraka… di jauhkan Allah Taala. Tapi kalau masih ada puak yang tak
percayakan Ulama2 seperti di atas itu, saya angkat tangan. Tak guna berhujjah
jika sumber istimbat hukum sudah menyeleweng!!
No comments:
Post a Comment