Wednesday, July 15, 2009

Perkasakan umat Melayu, Islam - Mufti

Perkasakan umat Melayu, Islam - Mufti

IPOH 15 Julai - Umat Melayu dan Islam perlu terus diperkasakan bagi memastikan kedua-duanya kekal menjadi tunjang kepada pembangunan negara seiring dengan perkembangan semasa.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan umat Melayu dan Islam pada masa ini sekali gus membentuk perpaduan Islam yang kukuh seperti satu ketika dahulu.

''Melayu satu ketika dahulu dibangunkan oleh Islam, mereka bersatu padu kerana Islam, bangkit daripada kegelapan kerana Islam dan menentang penjajah juga kerana Islam.

''Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berbeza dan tidak menentu kerana ada perbalahan politik serta ditambah lagi dengan masalah sosial. Jadi amat perlu dan penting kita semua kembali membentuk perpaduan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas resolusi Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 hari ini.

Muzakarah yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-81 itu disertai seramai 200 peserta terdiri daripada kalangan cendekiawan Islam termasuk wakil dari Singapura.

Harussani berkata, semua peserta juga bersetuju bahawa institusi kesultanan Melayu selaku ketua agama Islam menggunakan segala ruang dan kuasa yang ada untuk memperkasakan Islam.

Jelas beliau, perkara berkenaan adalah selaras dengan perlembagaan negara dan negeri yang memberi kuasa dan kekuatan kepada raja-raja untuk membangunkan Islam.

Katanya, ia juga sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, ''Manusia itu mengikut cara hidup rajanya."

''Kalau rajanya kuat agama maka rakyat akan kuat juga agamanya. Jadi golongan raja dan istana perlu mempelopori penghayatan Islam dan kemudian turun ke bawah untuk menyebarkannya.

''Pada masa sama, orang yang di bawah iaitu rakyat perlu bersedia untuk menerimanya kalau tidak ia tidak akan jadi.

''Sebab itu kita katakan bahawa raja itu berdaulat kerana mentaati dan membangunkan Islam," katanya.

Menurut Harussani, kerajaan atau pemerintah tertinggi juga perlu menggarap Islam dan melakukan penghayatan secara sempurna dengan serius serta agresif.

Katanya, langkah berkenaan akan meliputi semua bidang supaya penyatuan umat Melayu dan Islam benar-benar kukuh dan tidak mudah goyah.

''Kalau raja sudah buat (penghayatan Islam) kemudian menerapkannya kepada pentadbiran dan rakyat jelata semuanya menerima maka barulah Melayu boleh menjadi Ummah Wahidah atau umat yang satu sama ada di dunia dan di akhirat.

''Orang mukmin itu adalah bersaudara, orang Islam juga bersaudara kerana kita mempunyai akidah dan kepercayaan yang sama berlandaskan Islam.

''Kita wajib laksanakan perintah agama itu (membentuk perpaduan)," katanya sambil menambah tulisan jawi yang menjadi legasi keharmonian umat Melayu Islam perlu dibudayakan secara serius di semua peringkat.

 

 

Sumber: Utusan Online

1 comment:

sjm said...

untuk pengetahuan anda semua orang yang bernama LAYARBAHTERA datang dari JOHOR BAHRU (tapi aku tak pasti samaada dia betul2 orang Johor ataupun orang luar yang buat onar)telah mengistiharkan dirinya imam mahdi...diharapkan anda semua bijak menilai dan faham jenis manusia apakah yang berani mengaku2 imam mahdi..aku bimbang diorang nie akan menyesatkan manusia dan tergolong dalam golongan DAJAL2 KECIL..BERHATI-HATILAH...

Search Engine

Google
BM4